Upah RM600 angkut dadah, lelaki ditahan dengan ganja bernilai RM29,000

Suspek ditahan kira-kira jam 1.10 pagi di tepi Jalan Kuantan-Segamat dekat Gambang di sini. - Foto hiasan
Suspek ditahan kira-kira jam 1.10 pagi di tepi Jalan Kuantan-Segamat dekat Gambang di sini. - Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN – Taktik seorang lelaki menjadikan laluan dari Klang ke Kuantan sebagai ‘transit’ penghantaran dadah terbongkar apabila dia ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM29,000 dalam satu pemeriksaan di Gambang awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.10 pagi di tepi Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Gambang.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan yang dipandunya membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM29,223.

"Rampasan itu membabitkan 9.6 kilogram ganja, 3.48 gram heroin dan 0.30 gram pil yaba.

"Bekalan dadah tersebut dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 19,350 individu sekiranya berjaya diedarkan ke pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

Ashari berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil upah sebanyak RM600 bagi setiap perjalanan untuk membawa bekalan dadah dari Klang, Selangor ke Kuantan.

Menurutnya, semakan turut mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

"Dalam operasi itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM550 dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah serta Seksyen 15(1) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 24 November ini bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!