Mangsa banjir serbu kedai, gudang dakwa bantuan lewat tiba

SUMATERA UTARA – Puluhan penduduk yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Sibolga, Sumatera Utara bertindak menyerbu sebuah gudang simpanan makanan kerajaan (Bulog) di Sarudik pada Sabtu selepas bantuan tidak dapat dihantar berikutan kawasan itu terputus hubungan.
Insiden itu tular melalui beberapa rakaman video yang menunjukkan orang ramai berebut memasuki Gudang Bulog Sarudik sebelum membawa keluar karung beras dan minyak masak. Kanak-kanak turut dilihat memikul guni beras dari dalam gudang.
Bulog atau Badan Urusan Logistik ialah agensi kerajaan Indonesia yang menguruskan stok beras negara, mirip fungsi BERNAS di Malaysia.
Pemimpin Wilayah Bulog Sumatera Utara, Budi Cahyanto, mengesahkan kejadian dan berkata, keadaan darurat tercetus apabila akses jalan putus, tanah runtuh, dan cuaca buruk menyebabkan bantuan terhenti selama hampir tiga hari.
“Akibatnya, penduduk di Sibolga dan Tapanuli Tengah langsung tidak dapat mengakses makanan. Keadaan ini menimbulkan tekanan dan keperluan segera,” katanya pada Ahad.

Sebelum gudang Bulog diserbu, beberapa kedai runcit moden dan pasar mini di Sibolga turut menjadi sasaran akibat ketiadaan bekalan makanan.
Budi menjelaskan bahawa Bulog Sibolga telah berkoordinasi dengan polis dan tentera untuk mengawal kawasan gudang, namun fokus anggota keselamatan ketika itu lebih tertumpu kepada menyelamatkan mangsa dan operasi pascabencana.
Menurutnya, permohonan tambahan anggota keselamatan telah dibuat, namun “sebelum bantuan tiba, orang ramai berkumpul dalam jumlah besar, merobohkan pagar dan memecahkan kunci gudang sebelum mengambil beras dan minyak masak.”
Polis cuba menyuraikan keadaan tetapi gagal kerana orang ramai terdesak akibat ketiadaan makanan.
Bulog kini sedang membuat pendataan jumlah beras dan minyak masak yang diambil, namun proses itu tergendala kerana gangguan komunikasi dan capaian internet di kawasan bencana.
“Kami faham penduduk dalam keadaan amat tertekan. Akses makanan terputus, infrastruktur rosak, ramai kehilangan keluarga dan tempat tinggal,” kata Budi.
Di Tapanuli Tengah, situasi sama turut berlaku apabila penduduk yang terputus bekalan bertindak menjarah beberapa pasar mini sebelum bantuan rasmi tiba.
Pihak berkuasa kini bekerjasama dengan kerajaan tempatan, tentera dan polis untuk memulihkan pengagihan bantuan, mengekang ketegangan, serta memastikan keselamatan di kawasan terjejas kembali stabil. - Agensi
Ringkasan AI
- Puluhan penduduk terjejas banjir dan tanah runtuh di Sibolga, Sumatera Utara, menyerbu gudang makanan Bulog akibat terputusnya hubungan dan bantuan
- Insiden yang berlaku di Gudang Bulog Sarudik menyebabkan penduduk membawa keluar karung beras dan minyak masak
- Keadaan darurat disebabkan oleh akses jalan putus dan cuaca buruk, menghalang bantuan selama hampir tiga hari
- Penduduk langsung tidak dapat mengakses makanan, mendorong tekanan dan keperluan segera untuk mencari bekalan makanan
- Bulog berkoordinasi dengan polis dan tentera untuk mengawal situasi, namun komunikasi dan capaian internet terganggu menyulitkan proses pendataan kerugian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

