Tragedi banjir: Bantuan berskala besar dari Malaysia tiba di Aceh
Bantuan itu merangkumi dua juta unit ubat-ubatan dan peralatan perubatan, dengan jumlah berat kira-kira dua tan, yang dihantar menggunakan pesawat kargo khas dari Kuala Lumpur.

ACEH – Bantuan perubatan berskala besar dari Malaysia telah tiba di Aceh melalui Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Blangbintang, Aceh Besar, menurut Agensi Pengurusan Bencana Hidrometeorologi Aceh pada Ahad.
Menurut agensi tersebut, bantuan berkenaan mendarat pada Sabtu, 29 November 2025, jam 7 malam waktu tempatan.
Bantuan itu merangkumi dua juta unit ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan jumlah berat kira-kira dua tan yang dihantar menggunakan pesawat kargo khas dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Penghantaran ini diselaraskan oleh Gomez Medical Services bersama pasukan kemanusiaan Blue Sky Rescue Malaysia. Bantuan tersebut merupakan penghantaran antarabangsa pertama yang tiba di Aceh sejak Badai Senyar melanda wilayah itu pada 22 November 2025, mengakibatkan kerosakan teruk di pelbagai kawasan.
Badai tersebut membawa hujan lebat melebihi 400 milimeter dalam tempoh dua hari, mengakibatkan banjir lumpur dan tanah runtuh di banyak kawasan terjejas.
Sebelum ini, Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, telah mengisytiharkan status darurat bencana selama 14 hari bermula 28 November hingga 11 Disember 2025 bagi mempercepatkan mobilisasi logistik, operasi pemindahan penduduk dan sokongan antara agensi dalam menangani bencana berskala besar tersebut.
Sehingga kini, laporan awal di Aceh mencatatkan 47 kematian, 19 orang hilang, manakala puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan bagi mengelakkan risiko keselamatan akibat bencana. – Agensi
Ringkasan AI
- Bantuan perubatan berskala besar dari Malaysia tiba di Aceh melalui Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda
- Bantuan itu merangkumi dua juta unit ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan berat dua tan
- Penghantaran diselaraskan oleh Gomez Medical Services dan pasukan Blue Sky Rescue Malaysia
- Ini adalah penghantaran antarabangsa pertama ke Aceh sejak Badai Senyar yang menyebabkan kerosakan teruk
- Gabenor Aceh mengisytiharkan status darurat bencana selama 14 hari untuk mempercepat mobilisasi bantuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

