Tanah runtuh di Sumatera Barat: Kementerian luar sahkan seorang rakyat Malaysia hilang

Jejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November lepas.
Jejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat pada 27 November lepas.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri mengesahkan seorang rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, hilang dipercayai terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia pada 27 November lepas.

Kementerian dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Barat dan polis tempatan (Polres Padang Panjang) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat.

Ia juga menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Sumatera Barat untuk sentiasa mengikuti semua arahan daripada pihak berkuasa tempatan serta menjauhi zon terdedah kepada tanah runtuh dan banjir, terutamanya laluan Padang-Bukittinggi di kawasan Lembah Anai yang masih ditutup.

“Rakyat Malaysia yang kini berada di kawasan terjejas dinasihatkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka dengan Konsulat Jeneral bagi memudahkan pemberian bantuan dan komunikasi yang tepat pada masanya,” menurut kenyataan itu.

Konsulat Jeneral Malaysia di Medan boleh dihubungi melalui talian +62 823-6164-6046 , yang beroperasi secara 24 jam atau e-mel kepada: mwmedan@kln.gov.my. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kementerian Luar Negeri mengesahkan Asrul Nizam hilang dalam kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Medan berhubung dengan BASARNAS, BPBD Sumatera Barat dan polis tempatan untuk operasi mencari dan menyelamat
  • Rakyat Malaysia di Sumatera Barat dinasihatkan mengikuti arahan pihak berkuasa dan menjauhi zon risiko tanah runtuh dan banjir
  • Dinasihatkan mendaftar kehadiran dengan Konsulat Jeneral untuk memudahkan bantuan dan komunikasi
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Medan boleh dihubungi 24 jam melalui talian khas atau e-mel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!