Suspek mati ditembak dalang kumpulan jenayah samun berbahaya

Kumar menunjukkan rampasan sepucuk senjata api separa automatik, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek yang ditembak mati dalam kejadian di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun pada Khamis.
Kumar menunjukkan rampasan sepucuk senjata api separa automatik, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek yang ditembak mati dalam kejadian di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun pada Khamis.
A
A
A

IPOH – Polis kini memburu empat lagi anggota kumpulan jenayah yang dipercayai terbabit dalam 22 kes pecah rumah di empat negeri selepas dalang utama kumpulan itu maut ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Tambun pada Khamis.

Kumpulan yang aktif sejak tahun lalu itu dipercayai terlibat dalam siri jenayah di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka serta dikenal pasti sebagai antara sindiket yang bertindak agresif dengan menggunakan senjata api ketika menjalankan kegiatan mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, semua ahli kumpulan berkenaan telah dikenal pasti dan polis kini sedang giat mengesan baki suspek yang masih bebas.

"Polis sudah mengenal pasti semua anggota kumpulan ini.

"Seorang daripada mereka berjaya ditahan di Tanjung Malim baru-baru ini berkaitan kes samun dan kini polis sedang memburu empat lagi suspek yang masih bebas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

Kumar menunjukkan paparan maklumat empat lagi suspek ahli kumpulan samun bersenjata yang masih bebas.
Kumar menunjukkan paparan maklumat empat lagi suspek ahli kumpulan samun bersenjata yang masih bebas.

Menurut Kumar, kumpulan berkenaan menjadikan rumah kediaman yang terletak berhampiran lebuh raya sebagai sasaran utama bagi memudahkan pergerakan keluar masuk serta melarikan diri selepas melakukan jenayah.

Katanya, sebelum melakukan pecah rumah atau samun, ahli kumpulan terbabit akan menjalankan pemantauan dan tinjauan terhadap rumah sasaran bagi mengenal pasti pergerakan penghuni.

"Mereka akan membuat tinjauan terlebih dahulu sebelum memilih rumah sasaran.

"Ketika melakukan jenayah, suspek memakai topeng bagi mengelakkan identiti mereka dikenal pasti," katanya.

Dalam kejadian awal pagi Khamis itu, seorang lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai dalang utama kumpulan berkenaan maut selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, Tambun.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek turut menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, selain senjata api dan bahan disyaki dadah jenis syabu.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek turut menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, selain senjata api dan bahan disyaki dadah jenis syabu.

Siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk samun, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek turut menemukan sepucuk pistol separa automatik, tiga butir peluru hidup dan enam kelongsong peluru.

Polis turut merampas tiga bilah parang, satu paket lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis syabu serta pelbagai peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan samun.

Menurut Kumar, penemuan senjata api dan senjata tajam itu mengukuhkan tanggapan bahawa kumpulan terbabit mempunyai kecenderungan menggunakan kekerasan ketika menjalankan kegiatan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!