Lelaki maut nahas jalan raya hidup semula di bilik mayat

ASABA - Seorang lelaki yang disangka maut dalam kemalangan motosikal mengejutkan orang ramai apabila dia bangkit semula secara tiba-tiba ketika berada di bilik mayat sebelum meminta sebatang rokok.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu kelihatan masih kebingungan dengan tubuh dan wajahnya dipenuhi serbuk putih yang lazimnya digunakan ketika menguruskan jenazah sebelum pengebumian.
Klip itu menunjukkan lelaki itu dikerumuni orang ramai yang terkejut melihat dia hidup kembali. Seorang individu turut menggesanya menjalani pemeriksaan kesihatan selepas terselamat daripada kejadian yang hampir meragut nyawanya.
Insiden itu dilaporkan berlaku berhampiran Evwreni di Delta, Nigeria, beberapa jam selepas dia disahkan meninggal dunia setelah terlibat dalam nahas jalan raya pada Jumaat lalu.
Keajaiban itu diraikan penduduk setempat malah mereka turut menghidangkan puff-puff sejenis kuih goreng tradisional Nigeria sebagai sebahagian daripada acara sambutan.
Kejadian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial termasuk yang mempersoalkan bagaimana dia boleh disahkan meninggal dunia dan dibawa ke bilik mayat tanpa pemeriksaan perubatan yang sewajarnya.
"Syukur dia tidak terus dikebumikan," kata seorang warganet.
Seorang warga Nigeria turut mendakwa kejadian hampir serupa pernah berlaku di kawasan kejiranannya lebih sedekad lalu.
Menurutnya, seorang lelaki pernah disahkan meninggal dunia sebelum tiba-tiba tersedar di tanah perkuburan. Sejak insiden itu, lelaki berkenaan diberi gelaran ‘Two Life’. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

