Banjir lumpuhkan Aceh Timur, Bupati rayu bantuan Presiden

ACEH TIMUR - Banjir besar yang melanda Kabupaten Aceh Timur, Indonesia lebih seminggu lalu telah melumpuhkan hampir keseluruhan aktiviti masyarakat apabila bekalan elektrik terputus, rangkaian komunikasi terganggu serta jalan utama masih ditenggelami air.
Memetik laporan Kompas, Bupati Aceh Timur, Iskandar Usman Al-Farlaky berkata, keadaan di beberapa kawasan masih kritikal dengan paras air mencecah dada orang dewasa.
Menurutnya, hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan ribuan penduduk terjejas, selain laluan utama dan jalan penghubung antara daerah tidak dapat dilalui kenderaan.
“Dalam keadaan seperti ini, kami sangat mengharapkan bantuan segera daripada Gubernur Aceh dan Presiden untuk turun tangan membantu,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih belum dapat membuat pendataan penuh terhadap kerosakan kerana banyak kawasan masih terputus hubungan.
Gangguan bekalan elektrik dan talian internet turut menyukarkan operasi menyelamat serta penghantaran bantuan kepada mangsa yang terperangkap.
Pihak berkuasa tempatan kini giat menjalankan operasi pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang lebih selamat.
Beberapa kawasan rendah dan berhampiran sungai dikenal pasti sebagai lokasi paling teruk terjejas akibat limpahan air.
Selain Aceh Timur, beberapa daerah lain di wilayah Aceh turut dilaporkan mengalami banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat berterusan.
Kerajaan daerah kini memberi tumpuan kepada bantuan kecemasan, penyediaan makanan serta pemulihan kemudahan asas yang terjejas.
Ringkasan AI
- Banjir besar melanda Kabupaten Aceh Timur, Indonesia melumpuhkan hampir keseluruhan aktiviti dengan bekalan elektrik terputus dan rangkaian komunikasi terganggu
- Paras air di beberapa kawasan mencecah dada orang dewasa
- Ribuan penduduk terjejas dengan laluan utama dan jalan penghubung antara daerah tidak dapat dilalui
- Bupati Aceh Timur mengharapkan bantuan segera daripada Gubernur Aceh dan Presiden
- Operasi pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara sedang dijalankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
