Pelajar SBP maut: 'Saya harap siasatan telus dari semua aspek' - Bapa

TAIPING - Bapa kepada pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar pada Rabu berharap siasatan berhubung kejadian itu dijalankan secara telus dan menyeluruh dari semua aspek.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian berhubung insiden berkenaan sementara menunggu hasil siasatan polis dan bedah siasat.
"Saya harapkan siasatan telus dan menyeluruh dari semua aspek.
"Saya tak boleh buat andaian apa-apa kerana ia masih tertakluk kepada hasil siasatan," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: PM arah siasatan menyeluruh, telus kes kematian pelajar di Perak
Kematian pelajar SBP: Kerajaan Perak zahir takziah, minta JPN sedia laporan penuh insiden
Kematian pelajar SBP: JPN arah sekolah beri kerjasama penuh siasatan polis
Pelajar Tingkatan 3 SBP ditemukan maut dalam sekolah
Menurut bapa mangsa, anak ketiga daripada lima beradik itu menjalani rutin persekolahan dan kehidupan asrama seperti pelajar lain, tanpa pernah menceritakan sebarang masalah sepanjang berada di institusi berkenaan.
Katanya, anaknya yang mula bersekolah di sekolah itu sejak Tingkatan Satu juga tidak pernah berkongsi sebarang perkara luar biasa berkaitan kehidupan di asrama.
"Persekolahan macam biasa. Kehidupan asrama pun sama seperti pelajar-pelajar lain," katanya.

Beliau berkata, berita mengenai kejadian itu diterimanya daripada pihak polis dan pengetua sekolah antara jam 3 hingga 4 petang Rabu.
Katanya, kali terakhir mereka bertemu adalah semasa cuti perayaan Deepavali lalu, namun sempat berhubung menerusi aplikasi Telegram sehari sebelum kejadian apabila anaknya berkongsi aktiviti biasa berkaitan kehidupan di sekolah.
Menurutnya, keluarga sebelum ini merancang agar anaknya meneruskan persekolahan di institusi berkenaan sehingga tamat Tingkatan Lima.
"Kalau ikut perancangan keluarga sebelum ini, memang kami merancang supaya anak meneruskan persekolahan di sekolah itu sehingga tamat Tingkatan Lima," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga dari sebuah SBP di Kuala Kangsar ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bangunan sekolah berkenaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping bagi menjalani bedah siasat untuk mengenal pasti punca kejadian.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam satu kenyataan mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan insiden tersebut.
Bapa mangsa berkata, pihak pengurusan sekolah turut memberikan penerangan berhubung insiden berkenaan, namun pihaknya memilih untuk tidak membuat sebarang kesimpulan sehingga siasatan selesai.
Jenazah dijadualkan dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

