'Walaupun sudah lebih 60 tahun, dia masih kuat bekerja' - Anak mangsa dibaham harimau

SUNGAI SIPUT - Suasana pilu menyelubungi pekarangan Masjid Jamek An Nur Hidayatul Muttaqin, Kampung Bawong di sini pada Khamis ketika menyambut jenazah Ngah Itam, 65, yang maut diserang harimau ketika mencari buluh.
Tangisan anak-anak Allahyarham yang sukar menerima pemergian bapa mereka dalam keadaan mengejut menambahkan lagi suasana sedih sebelum jenazah disembahyangkan.
Anak mangsa, Zafberi Ngah, 39, berkata, pemergian bapanya itu sesuatu yang sukar diterima memandangkan mereka baru berjumpa pada pagi Rabu sebelum kejadian.
Menurutnya, kejadian hanya disedari apabila bapanya tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya selepas keluar bekerja di hutan berhampiran rumahnya.
"Memang rutin hariannya mencari hasil hutan terutama buluh. Saya sendiri yang hantar arwah lebih kurang jam 9 pagi. Selalunya dia balik pukul 1 petang. Apabila sudah lebih jam 2 petang tetapi dia belum balik, kami mula tertanya-tanya ke mana orang tua ini.
"Adik saya kemudian pergi mencarinya di kawasan hutan dan jumpa beberapa peralatan arwah sebelum meminta bantuan daripada orang kampung dan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bawong di sini pada Khamis.

Zafberi berkata, ketika ahli keluarga tiba di lokasi, mereka mendapati bapanya sudah ditarik oleh haiwan berkenaan sebelum harimau itu melarikan diri selepas disedari kehadiran mereka.
Katanya, bapanya tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik atau perubahan rutin beberapa hari sebelum kejadian malah masih aktif melakukan kerja memotong buluh untuk dijual kepada pembeli.
Menurutnya, pekerjaan itu menjadi sumber pendapatan utama bapanya yang mampu memperoleh kira-kira RM1,000, bergantung kepada jumlah buluh yang dipotong dan dijual.
"Walaupun sudah berusia lebih 60 tahun, dia masih kuat bekerja. Memang itulah kerja yang diminatinya sejak dulu, potong buluh.
"Dia akan pergi ke hutan setiap hari dan biasanya membawa bekalan teh serta keropok," katanya.

Zafberi berkata, bapanya meninggalkan lima orang anak berusia antara 15 hingga 42 tahun serta lapan cucu.
Tambahnya, mereka sekeluarga akan bersama-sama menjaga adik bongsu berusia 15 tahun selepas kehilangan bapa yang menjadi tempat bergantung.
Katanya, ibu mereka pula telah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu akibat penyakit tibi.
Allahyarham Ngah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bawong di sini.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki Orang Asli maut selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari buluh di kawasan hutan Lata Serai Kampung Bawong di sini pada Rabu.
Mangsa merupakan seorang bapa tunggal dan mempunyai lima orang anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

