Angka korban banjir, tanah runtuh di Indonesia meningkat 225 orang

Sekurang-kurangnya 225 orang maut manakala puluhan lagi masih hilang selepas beberapa siri banjir dan tanah runtuh melanda tiga wilayah di pulau Sumatera, Indonesia minggu ini. - Foto AP
Sekurang-kurangnya 225 orang maut manakala puluhan lagi masih hilang selepas beberapa siri banjir dan tanah runtuh melanda tiga wilayah di pulau Sumatera, Indonesia minggu ini. - Foto AP
A
A
A

JAKARTA - Sekurang-kurangnya 225 orang maut manakala puluhan lagi masih hilang selepas beberapa siri banjir dan tanah runtuh melanda tiga wilayah di pulau Sumatera, Indonesia minggu ini, menurut pihak berkuasa pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memberi amaran bahawa angka korban dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat berjaya sampai ke komuniti terpencil yang terputus hubungan akibat hujan lebat selama beberapa hari.

“Terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat kami masuki,” kata Ketua BNPB Suharyanto.

“Data ini akan terus berubah.”

Sumatera Utara merupakan kawasan paling terjejas dengan pihak berkuasa melaporkan 116 kematian dan 42 yang lain hilang.

Hujan lebat di kawasan rupa bumi curam mencetuskan kejadian tanah runtuh, memusnahkan jalan luar bandar dan mengganggu laluan pengangkutan utama, menurut agensi berkenaan.

Kerajaan pusat telah mengerahkan anggota tentera tambahan dan pasukan kecemasan bersama pesawat, jentera berat selain pakej bantuan presiden merangkumi generator, peralatan komunikasi serta bot boleh kembung.

Di Aceh, pihak berkuasa mengesahkan 35 kematian, 25 lagi hilang manakala lapan yang lain cedera.

Lebih 4,800 isi rumah telah dipindahkan dan hampir 100 pusat pemindahan dibuka di Lhokseumawe, bandar kedua terbesar di wilayah Aceh.

Artikel Berkaitan:

Di Sumatera Barat, agensi bencana melaporkan 74 kematian, 12 lagi hilang dan empat yang lain cedera, dengan lebih 3,900 isi rumah berlindung di kemudahan sementara. - Bernama-dpa

Ringkasan AI

  • Sekurang-kurangnya 225 orang maut dalam banjir dan tanah runtuh di Sumatera, Indonesia
  • Puluhan orang masih hilang, dijangka korban bertambah
  • Sumatera Utara kawasan paling terjejas, 116 kematian
  • Kerajaan hantar bantuan termasuk tentera tambahan dan pesawat
  • Di Aceh dan Sumatera Barat, ribuan isi rumah dipindahkan ke pusat pemindahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!