[VIDEO] Adik Zayn Rayyan dipulangkan ke pangkuan bapa
SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Selepas 18 bulan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun itu dipulangkan ke pangkuan bapanya, Zaim Ikhwan Zahari.
Mendengar keputusan berkenaan, Zaim Ikhwan, 30, memeluk anak keduanya itu sambil diperhatikan ahli keluarga termasuk ibu bapa yang berusia 58 tahun, Zahari Mohd Reba dan Hasni Zakaria.

Kanak-kanak yang menghidap autisme itu juga kelihatan ceria ketika didukung selepas prosiding selesai.
“Alhamdulillah, keputusan ini menjadi penguat semangat untuk kami terus berjuang,” kata Zaim Ikhwan ketika di luar mahkamah.
Sementara itu, peguam, Lavanesh Haresh Mahadevan yang mengendalikan kes pengabaian membabitkan ibu kanak-kanak autisme itu berkata, Majistret, Ameera Mastura Khamis memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan dibuat Zaim Ikhwan.
Bagaimanapun katanya, mahkamah memerintahkan bapa kepada dua anak itu, memenuhi 14 syarat yang dikemukakan pihak JKM.
"Antara syarat berkenaan ialah bapa kandung perlu memastikan kanak-kanak ini tidak ditinggalkan berseorangan tanpa pengawasan orang dewasa dan tiada kes penganiayaan atau pengabaian berlaku.
“Bapa kandung hendaklah memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya.
“Mereka dikehendaki tinggal di alamat yang dinyatakan dalam perintah mahkamah namun jika mahu berpindah, perkara ini perlu dimaklumkan kepada JKM,” katanya.
Selain itu beliau berkata, kanak-kanak ini tidak boleh dijadikan bahan kandungan di media sosial.
Sekiranya bapa kandung melanggar salah satu syarat yang telah ditetapkan, beliau berkata, pihak pelindung JKM boleh mengambil kanak-kanak itu semula dan ditempatkan di institusinya.
Beliau berkata, permohonan berkenaan dibuat kerana Zaim Ikhwan telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai lalu.
Katanya, mahkamah juga mengenakan perintah untuk menyempurnakan bon bagi menjalankan pemeliharaan dan penjagaan sebanyak RM2,000 selama tiga tahun kepada Zaim Ikhwan, mengikut perenggan 30(1)(a) dan Subsekyen 30(8) Akta Kanak-kanak 2001.
Susulan itu katanya, tiada sebarang keperluan untuk pihak JKM mengekalkan hak penjagaan sementara anak Zaim Ikhwan kepada keluarga saudara.
Selepas ini beliau berkata, pembelaan akan memfailkan rayuan bagi membatalkan 14 syarat yang dikenakan terhadap bapa kandung berkenaan.
Sementara itu, Zahari berkata, cucu lelakinya ini telah diambil oleh pihak JKM ketika anaknya dan menantu, Ismanira Abdul Manaf, 30, direman oleh pihak polis pada Mei tahun lalu.
“Dia mesti merindui kasih sayang dan pelukan kedua ibu bapanya sejak ditempatkan di rumah saudara, 18 bulan yang lalu.
“Saya percaya, setiba di rumah kelak, dia mesti menjadi ‘Mommy’ (Ismanira) malah sebelum ini, dia sering mencari kelibat Zayn Rayyan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, hak penjagaan sementara adik arwah diserahkan kepada nenek saudaranya bermula 9 Ogos 2024.
Prosiding hak penjagaan kanak-kanak ketika dia berusia lima tahun itu diputuskan melalui rundingan antara JKM Selangor dan ibu bapa kanak-kanak itu di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman hari ini.
Pada 21 Julai, Zaim Ikhwan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri atas satu kes mengabai Zayn Rayyan, dua tahun lalu.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri atas pertuduhan berkenaan di bawah seksyen terbabit.
Pada 31 Oktober lalu, Ismanira diperintah ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabai anak sulungnya.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ringkasan AI
- Adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun dan menghidap autisme dipulangkan ke pangkuan bapanya selepas 18 bulan dijaga oleh nenek saudara dan JKM
- Zaim Ikhwan, bapa kepada kanak-kanak tersebut, menyatakan keputusan mahkamah menjadi penguat semangatnya
- Mahkamah membenarkan permohonan Zaim Ikhwan dengan syarat memenuhi 14 syarat yang dikemukakan JKM termasuk tidak membiarkan kanak-kanak tersebut tanpa pengawasan
- Antara syarat lain, kanak-kanak tersebut perlu mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya dan tidak boleh dijadikan bahan kandungan di media sosial
- Mahkamah juga memerintahkan jika bapa kandung melanggar syarat-syarat tersebut, JKM boleh mengambil semula kanak-kanak itu dan ditempatkan di institusinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

