Ismanira sempat bertemu keluarga, dipeluk suami

SHAH ALAM – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, sempat bertemu dengan suami dan keluarga mentuanya selepas prosiding pengurusan kes bagi permohonan dilepaskan sementara sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.
Ismanira, 30, yang memakai baju kebarung berwarna putih, turut kelihatan tenang ketika dipeluk suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30.
Menurut peguam, Haresh Mahadevan, semangat anak guamnya kekal kuat dan bersabar meskipun ditempatkan di Penjara Wanita Kajang sehingga rayuannya didengar.
Katanya, Ismanira yang telah ditempatkan di penjara itu sejak 20 hari lalu berada dalam keadaan baik dan bersabar dengan situasi yang dihadapi.
"Dia juga memahami proses undang-undang yang perlu dilalui sebelum sebarang keputusan mengenai permohonan pembebasan sementara dibuat, sehingga rayuan didengar di mahkamah ini," katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Ramzani Idris, selepas prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Kanan, Nadiah Misman.
Dalam prosiding itu, Haresh memaklumkan bahawa pihak pemohon berharap agar hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan terhadap sabitan kes mengabaikan kanak-kanak autisme itu didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 3 November lalu, Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas didapati bersalah atas kesalahan berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Ismanira dihantar ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.
Hakim berkata, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkan hukuman itu ditangguhkan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, didakwa mengabaikannya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, sehingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di sebuah anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Ringkasan AI
- Ismanira Abdul Manaf sempat bertemu suami dan keluarga mentuanya selepas prosiding pengurusan kes
- Ismanira, 30, dipenjarakan sejak 20 hari lalu di Penjara Wanita Kajang
- Hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak autisme
- Permohonan menangguhkan hukuman ditolak oleh mahkamah
- Zayn Rayyan, anak Ismanira, ditemukan meninggal dunia di anak sungai berdekatan tempat tinggal mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

