Ibu Zayn Rayyan disabit bersalah: Isyarat mahkamah takrif pengabaian kanak-kanak

Ismanira (depan, kanan) dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat, selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Ismanira (depan, kanan) dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat, selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat yang mensabitkan Ismanira Abdul Manaf bersalah atas tuduhan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, menarik perhatian umum bukan sekadar kerana latar belakang kes itu, tetapi juga kerana implikasi perundangan dan sosial terhadap isu pengabaian kanak-kanak di negara ini.

Hakim, Dr Syahliza Warnoh ketika membacakan penghakiman memberikan tiga alasan utama mengapa mahkamah mendapati tertuduh bersalah.

Antara lain, mahkamah menegaskan bahawa Akta Kanak-Kanak 2021 tidak memperuntukkan taksiran khusus bagi istilah ‘pengabaian’, menjadikan tafsiran terhadapnya bergantung kepada fakta dan keterangan setiap kes.

Pendekatan ini membuka ruang kepada tafsiran lebih luas bahawa pengabaian bukan semata-mata tindakan yang disengajakan untuk mencederakan kanak-kanak, tetapi juga boleh merangkumi kegagalan memberi pengawasan yang munasabah sehingga menyebabkan risiko kepada keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Dalam kes ini, mahkamah menilai sama ada tindakan tertuduh, membiarkan anak autisme berusia enam tahun berjalan di belakang tanpa pengawasan sewajarnya boleh dianggap sebagai satu bentuk pengabaian.

Pembelaan berhujah bahawa situasi itu merupakan rutin harian anak, yang mempunyai tingkah laku tegar disebabkan keadaan autisme.

Namun, hakim mendapati hujahan tersebut bercanggah dengan keterangan saksi pembelaan dan tidak menunjukkan tahap pengawasan yang mencukupi, terutama apabila keadaan itu akhirnya membawa kepada kehilangan dan kematian kanak-kanak tersebut.

Selain itu, keterangan saksi pakar psikologi kanak-kanak turut dinilai sebagai tidak konklusif, kerana ia hanya berdasarkan maklumat yang diberi tertuduh tanpa pengesahan bebas.

Isyarat utama daripada keputusan tersebut adalah pendekatan mahkamah dalam menetapkan piawaian tanggungjawab ibu bapa atau penjaga terhadap kanak-kanak, khususnya mereka yang berkeperluan khas.

Artikel Berkaitan:

Jika sebelum ini tafsiran pengabaian sering dikaitkan dengan kecuaian fizikal yang nyata seperti tidak memberi makanan, tempat tinggal atau rawatan, keputusan kali ini memperluas pemahaman kepada pengawasan dan keselamatan dalam konteks pergerakan harian.

Ia membawa mesej bahawa tanggungjawab penjagaan tidak hanya bersifat pasif, tetapi menuntut tindakan aktif bagi memastikan keselamatan anak sentiasa terjamin, terutama apabila anak itu berada dalam kumpulan berisiko tinggi seperti autisme atau OKU.

Namun begitu, kes ini juga mengundang perdebatan dari sudut kemanusiaan dan empati terhadap ibu bapa yang berhadapan tekanan mengurus anak autisme.

Pengasuhan anak dengan keperluan khas memerlukan sokongan sistemik yang berterusan, termasuk daripada masyarakat dan pihak berkuasa.

Kesimpulannya, keputusan kes Ismanira Abdul Manaf bukan hanya mencerminkan keadilan terhadap satu tragedi, tetapi juga menandakan perubahan penting dalam cara mahkamah mentafsir tanggungjawab penjagaan anak di Malaysia.

Di satu sisi, ia menunjukkan bahawa undang-undang semakin serius terhadap isu pengabaian, namun di sisi lain, ia juga menyeru kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang realiti dan cabaran sebenar yang dihadapi keluarga anak berkeperluan khas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!