Pemandu bas ekspres dikesan positif dadah

Mohammad Yusoff menbuat pemeriksaan ke atas sebuah bas ekpress sempena Op Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Meru Raya di Ipoh pada Isnin.
Mohammad Yusoff menbuat pemeriksaan ke atas sebuah bas ekpress sempena Op Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Meru Raya di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Seorang pemandu bas ekspres dikesan positif dadah dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di sini pada Isnin.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada 80 saringan urin yang dijalankan ke atas pemandu bas di terminal seluruh negeri, seorang pemandu didapati gagal ujian air kencing selepas disahkan positif methamphetamine.

Menurut beliau, tindakan segera telah diambil terhadap pemandu terbabit selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"JPJ Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang, lebih-lebih lagi melibatkan pemandu kenderaan perkhidmatan awam," katanya dalam sidang akhbar sempena Op Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Meru Raya di sini pada Isnin.

Mohammad Yusoff berkata, sebanyak 119 bas ekspres telah diperiksa sepanjang operasi yang bermula 13 Februari lalu.

Katanya, pemeriksaan tersebut meliputi pemeriksaan teknikal, semakan dokumen perlesenan serta pematuhan prosedur keselamatan di depot, terminal dan melalui kaedah penyamaran.

"Hasil pemeriksaan itu, empat bas ekspres dikesan melakukan kesalahan dan sebanyak 12 notis saman telah dikeluarkan.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk penumpang tidak memakai tali pinggang keledar serta pemandu memandu di lorong kanan secara berterusan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JPJ Perak turut melaksanakan penyamaran sebagai penumpang dan menaiki bas ekspres bagi memantau secara langsung tahap pematuhan pemandu terhadap peraturan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penyamaran diketuai beliau sendiri bersama tiga pegawai operasi JPJ negeri itu digerakkan ke atas empat bas ekspres berasingan dari Pulau Pinang ke Ipoh.

"Secara prinsipnya, ramai pemandu kenderaan telah mematuhi perundangan yang telah ditetapkan, malah pemeriksaan ke atas empat bas yang dinaiki, hanya sebuah bas melakukan kesalahan iaitu tiada pemandu kedua," katanya.

Dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula 13 hingga 22 Februari ini, seramai 263 anggota penguat kuasa JPJ melibatkan 41 pasukan pemantauan digerakkan di seluruh negeri dengan fokus kepada lebuh raya utama, jalan persekutuan serta terminal bas.

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu bas ekspres dikesan positif dadah dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 oleh JPJ Perak
  • Daripada 80 saringan urin, seorang pemandu positif methamphetamine
  • Tindakan segera diambil terhadap pemandu terbabit
  • Sebanyak 119 bas ekspres diperiksa dan 12 notis saman dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan
  • JPJ Perak turut melakukan penyamaran sebagai penumpang untuk memantau pematuhan pemandu terhadap peraturan keselamatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!