Ibu Zayn Rayyan tak puas hati keputusan, fail rayuan di Mahkamah Tinggi

Ismanira
Ismanira
A
A
A

SHAH ALAM – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.

Ismanira Abdul Manaf, 30, selaku perayu memfailkan permohonan berkenaan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co dengan menamakan pendakwaan sebagai responden.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, ibu kepada dua anak itu membuat permohonan berkenaan kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Sementara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira mengesahkan perkara terbabit.

"Ya, pihak saya telah failkan notis rayuan hari ini, terhadap keseluruhan keputusan," katanya ketika dihubungi media.

Pada Jumaat lalu, bekas kerani itu dihukum penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan itu.

Hakim, Dr Syahliza memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Ismanira gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Selain hukuman penjara bermula tarikh sabitan, Ismanira juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM3,000.

Dia juga perlu melengkapkan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua hukuman tambahan itu perlu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman pemenjaraan.

Mahkamah memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan.

Hakim berkata, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak sulungnya, di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Ringkasan AI

  • Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya yang autistik
  • Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada dua anak, tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Syahliza Warnoh dan memfailkan permohonan rayuan
  • Hakim telah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, mengakibatkan Ismanira dihukum penjara lima tahun dan dikenakan bon berkelakuan baik serta perlu melengkapkan khidmat masyarakat selepas penjara
  • Mahkamah menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan, memerintahkannya ke Penjara Wanita Kajang
  • Zayn Rayyan ditemukan meninggal di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, setelah sebelumnya dilaporkan hilang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!