Datuk Zayn Rayyan rayu polis teruskan siasatan, dakwa pembunuh masih bebas

PETALING JAYA – "Keputusan telah dibuat, saya ingin tahu apakah status kes pembunuhan Zayn Rayyan. Sehingga kini, siasatan pihak polis masih belum menemui hasil. Pembunuh masih bebas di luar sana.”
Demikian luahan penuh emosi Zahari Mohd Reba, 55, datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Jumaat.
Zahari berkata, keluarganya menerima keputusan mahkamah yang diumumkan hari ini dengan reda, namun persoalan berhubung siapa pembunuh sebenar cucunya masih menghantui mereka.
"Semua sudah sedia maklum bahawa keputusan telah diumumkan hari ini, kami sekeluarga akur dengan keputusan tersebut.
"Cuma saya ingin tekankan di sini bahawa walaupun keputusan itu sudah dibuat, saya ingin tahu apakah status kes pembunuhan Zayn Rayyan," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini pada Jumaat.
Tambahnya, keluarga turut merayu agar pihak berkuasa meneruskan siasatan dengan telus dan adil bagi mencari keadilan buat arwah cucunya.
"Saya merayu kepada pihak berkuasa agar meneruskan siasatan dengan telus dan adil. Selama dua tahun ini, keluarga kami telah dianiaya dan difitnah di media sosial, kami tetap bersabar dan percaya ini semua ketentuan Tuhan," katanya.
Menurutnya, walaupun keluarga cuba menerima dugaan tersebut dengan tabah, mereka tidak sesekali melupakan kezaliman yang berlaku.
"Kami sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar orang yang memfitnah kami akan menerima balasan. Meskipun di dunia mungkin tidak terlihat kifarahnya, insya-ALLAH di akhirat pasti ada pembalasan,” katanya.
Pada masa sama, Zahari memaklumkan bahawa keluarga kini bertanggungjawab menjaga Zahin Mateen, adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kami mohon agar pihak JKM dengan ikhlas menyerahkan penjagaan Mateen kepada kami. Apa jua yang berlaku, kami sanggup menjaganya," ujarnya sebak.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenai keputusan mahkamah berhubung permohonan penangguhan yang ditolak dan menyerahkan perkara itu kepada peguam keluarga.
"Tujuan saya hadir hari ini hanyalah untuk menyampaikan luahan keluarga kami. Apabila mendengar keputusan hukuman penjara itu, sudah tentu hati kami remuk. Kami amat rapat dengan menantu saya, dia seperti anak saya sendiri," katanya sebelum mengakhiri sidang media dengan nada sayu.
Terdahulu, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh berkata, Ismanira Abdul Manaf, 30, juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan.
Prosiding diteruskan dengan pihak peguam yang mewakili tertuduh merayu dalam sesi mitigasi untuk menangguhkan hukuman penjara.
Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokannya.
Pada 21 Julai, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.
Hakim, Dr Syahliza memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama terbabit.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Ringkasan AI
- Zahari Mohd Reba, datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan merayu agar pihak berkuasa meneruskan siasatan pembunuhan cucunya secara telus dan adil
- Keluarga akur dengan keputusan mahkamah namun masih terhantui dengan persoalan siapa pembunuh sebenar Zayn Rayyan
- Keluarga telah dianiaya dan difitnah di media sosial selama dua tahun namun tetap bersabar dan percaya pada ketentuan Tuhan
- Zahari memaklumkan keluarga kini bertanggungjawab menjaga Zahin Mateen, adik Allahyarham Zayn Rayyan yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan dihukum penjara selama lima tahun atas kesalahan mengabaikan anak autisnya, manakala suaminya dibebaskan daripada tuduhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
