Ibu Zayn Rayyan ke Penjara Wanita Kajang hari ini

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat memerintahkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun kerana mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonan Ismanira Abdul Manaf, 30, untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.
“Tiada alasan yang meyakinkan mahkamah, maka tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta, bermula tarikh sabitan ini,” kata hakim.
Selepas prosiding selesai, suami tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari berang dan meraung “Biar ALLAH melaknat kamu semua!”
Suasana bertukar kecoh apabila keluarga Ismanira meluahkan perasaan di sini.
Ini memaksa pihak polis membawa Ismanira ke lokap sementara di mahkamah ini bagi meredakan keadaan.
Ahli keluarga juga terpaksa memberi semangat kepada kedua-dua pasangan itu dalam keadaan tergesa-gesa.
Zaim Ikhwan mula reda selepas dirangkul keluar daripada mahkamah oleh bapanya, Zahari Mohd Reba, 57.
Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.
Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.
Pada 21 Julai, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.
Hakim, Dr Syahliza memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama terbabit.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Pembelaan bagi Ismanira peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Ringkasan AI
- Mahkamah Sesyen memerintahkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin ke Penjara Wanita Kajang selama lima tahun kerana mengabaikan anak autisme itu
- Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan
- Pasangan itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan, 6, yang menyebabkan kemungkinan kecederaan fizikal
- Zaim Ikhwan dibebaskan daripada pertuduhan pada 21 Julai selepas mahkamah mendapati tiada bukti kes prima facie
- Zayn Rayyan ditemukan meninggal di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

