Ismanira abai Zayn Rayyan dijel 5 tahun

Ismanira dihukum penjara 5 tahun selepas didapati bersalah abai Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya dua tahun lalu. - Foto: Bernama
Ismanira dihukum penjara 5 tahun selepas didapati bersalah abai Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya dua tahun lalu. - Foto: Bernama
A
A
A

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dihukum penjara selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.

Hakim, Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Selain hukuman penjara bermula tarikh sabitan, Ismanira, 30, juga dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM3,000.

Dia juga perlu melengkapkan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan.

Kedua-dua hukuman tambahan itu perlu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman pemenjaraan.

Semasa prosiding, pasukan pembelaan memohon untuk menangguhkan hukuman penjara manakala pendakwaan membantah permohonan terbabit.

“Setelah meneliti hujahan-hujahan yang disampaikan, saya mendapati tertuduh gagal untuk menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.

“Tiada alasan yang meyakinkan mahkamah, maka tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara serta-merta,” katanya.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.

Pada 21 Julai, nasib menyebelahi Zaim Ikhwan apabila mahkamah membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.

Hakim, Dr Syahliza memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama terbabit.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Pembelaan bagi Ismanira peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

 

 

Ringkasan AI

  • Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dijatuhi hukuman lima tahun penjara kerana mengabaikan anaknya yang autistik Hakim juga memerintahkan ibu tersebut menjalani bon berkelakuan baik selama dua tahun dan khidmat masyarakat 120 jam Pasangan tersebut didakwa mengabaikan Zayn Rayyan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal Suami kepada ibu tersebut dibebaskan dari tuduhan selepas mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes secara prima facie Zayn Rayyan ditemukan meninggal di anak sungai berhampiran kediamannya selepas dilaporkan hilang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!