Saarani beri jaminan baik pulih segera kerosakan infrastruktur akibat banjir

Saarani meninjau kediaman penduduk yang rosak akibat bencana banjir di LMS pada Sabtu.
Saarani meninjau kediaman penduduk yang rosak akibat bencana banjir di LMS pada Sabtu.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Perak memberi jaminan akan melaksanakan segera kerja-kerja baik pulih infrastruktur rosak akibat bencana banjir yang melanda beberapa daerah terutama di Larut Matang dan Selama (LMS).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pejabat daerah terlibat telah diarahkan mengadakan mesyuarat pasca bencana bagi menilai tahap kerosakan terutama di kawasan yang mengalami kemusnahan teruk seperti titi runtuh, jalan terputus dan rumah penduduk yang rosak.

"Saya tahu, sukar untuk kita dapatkan peruntukan tambahan di hujung tahun ini, tetapi saya percaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) barangkali ada peruntukan khas yang boleh membantu kita menyelesaikan perkara paling penting dahulu.

"Kalau titi itu telah memutuskan hubungan, tidak ada pilihan lain, kena buat yang baharu," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Matang Gelugor di sini pada Sabtu.

Saarani menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor.
Saarani menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor.

Mengulas mengenai peruntukan RM1.2 juta yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dana itu katanya akan disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak bagi melaksanakan projek segera di kawasan paling terjejas.

Menurut beliau, Pejabat Daerah LMS sudah menyenaraikan beberapa keutamaan, namun kawasan itu melibatkan tiga Parlimen besar iaitu Larut, Taiping dan Bukit Gantang yang semuanya terjejas akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

"Sudah pasti jumlah itu tidak mencukupi, tetapi kita akan bagi keutamaan kepada projek-projek yang memerlukan ia disegerakan.

Artikel Berkaitan:

"Nanti Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim akan mengadakan mesyuarat dengan pegawai daerah untuk dapatkan maklumat menyeluruh, bukan sahaja di LMS tetapi di seluruh negeri," jelasnya.

Setakat jam 2 petang, seramai 3,033 mangsa banjir daripada 1,036 keluarga di seluruh Perak masih ditempatkan di 27 PPS sejak banjir melanda pada Khamis.

Selain LMS, daerah lain yang terjejas banjir adalah Manjung, Kerian dan Perak Tengah.

Sementara itu, Saarani berkata, tinjauan yang dilakukan ke beberapa PPS mendapati pengurusan keseluruhan berada pada tahap baik dan kebajikan mangsa diberi perhatian oleh agensi terlibat.

Saarani meninjau keadaan infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir di LMS pada Sabtu.
Saarani meninjau keadaan infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir di LMS pada Sabtu.

"Saya jumpa semua mangsa, mereka tidak ada merungut apa-apa. Pertama, mungkin sebab mereka sudah biasa menghadapi situasi ini.

"Kedua, terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjaga mereka dengan baik, bukan sahaja dari segi makan minum, tetapi juga aktiviti harian supaya pelajar dan kanak-kanak tidak merasa bosan walaupun terpaksa tinggal di PPS," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab menghadapi bencana bukan hanya terletak pada agensi kerajaan, tetapi juga penduduk.

"Ramai yang saya jumpa tadi kata mereka tak sempat nak bawa keluar apa-apa, hanya sempat selamatkan dokumen peribadi, telefon bimbit dan pengecas. Bermakna, mereka tidak menjangka banjir berlaku dengan cepat.

"Sebab itu saya ingatkan semua orang mestilah bersiap siaga. Saya harap imam dan ketua kampung juga perlu sentiasa berjaga-jaga (keadaan cuaca) dan maklumkan kepada anak buah masing-masing,” katanya.

Ringkasan AI

  • Perak akan segera melaksanakan kerja-kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir
  • Saarani menyatakan pejabat daerah telah diarahkan untuk mengadakan mesyuarat pasca bencana
  • Nadma mungkin memiliki peruntukan khas untuk membantu
  • Timbalan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1.2 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Perak
  • Seramai 3,033 mangsa banjir daripada 1,036 keluarga di seluruh Perak masih ditempatkan di 27 Pusat Pemindahan Sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!