Nubhan diberi tempoh hingga 24 Februari

Akberdin bersama Dr Fie (tengah) dan Ummi Kartini ditemui di Mahkamah Syariah Seremban.
Akberdin bersama Dr Fie (tengah) dan Ummi Kartini ditemui di Mahkamah Syariah Seremban.
A
A
A

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa menetapkan sehingga 24 Februari ini untuk penyanyi, Nubhan Ahmad Ahamad, memasukkan pembelaan terhadap tuntutan saman harta sepencarian yang difailkan oleh bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Ia susulan kegagalan pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-12 berkenaan hadir dalam proses sulh pada 8 Januari lalu.

Bagaimanapun, Nubhan,40, sekali lagi tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Mohd Redzuan Ramli, bagi menetapkan tarikh selanjutnya berhubung tuntutan saman tersebut.

Dr Fie (tengah) ditemani ibunya ketika hadir ke Mahkamah Syariah Seremban
Dr Fie (tengah) ditemani ibunya ketika hadir ke Mahkamah Syariah Seremban

Afifah atau dikenali sebagai Dr Fie yang ayu berbaju kurung tiba di mahkamah jam 9.55 pagi ditemani ibu bapanya serta peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Ummi Kartini Abd Latiff.

Dia bersama peguamnya kemudian memasuki Pejabat Mahkamah Tinggi Syariah jam 10.30 pagi dan keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Akberdin berkata, pihaknya telah membuat serahan saman kepada penyanyi tersebut pada 19 Januari lalu.

"Proses sulh tempoh hari tidak berjaya dan disebabkan itu mahkamah arahkan kita serahkan saman dan hari ini di hadapan pendaftar mahkamah, kita telah maklumkan mengenainya.

Artikel Berkaitan:

"Pihak defenden juga hadir, mereka beritahu nak masukkan pembelaan dan mahkamah telah tetapkan tarikh untuk masukkan pembelaan itu sebelum atau pada 24 Februari ini," katanya.

Dr Fie
Dr Fie

Jelas beliau, mahkamah juga telah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes sama ada pihak plantif mahu memasukkan jawapan balas kepada pihak pembelaan atau sebaliknya.

Sementara itu, Dr Fie, 36 berharap proses tuntutan harta sepencariannya dengan Nubhan dapat berjalan lancar serta berharap bekas suaminya memberi kerjasama dengan hadir pada tarikh prosiding yang ditetapkan.

"Saya harap kes ini dipermudahkan dan dapat selesai dengan cepat. Saya juga tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak serta berharap semuanya berjalan lancar.

"Harapnya dia (Nubhan) boleh datang pada waktu-waktu penting itu dan beri kerjasama kerana seperti yang dia cakap sebelum ini, dia boleh berkawan dengan saya demi anak-anak. Saya harap dia berpegang pada ayat itulah,"katanya.

Dr Fie turut menjelaskan bahawa tuntutan yang diperjuangkan bukan untuk dirinya semata-mata, sebaliknya demi masa depan tiga anaknya.

Ujarnya, dia juga sudah lama 'move on' dan keutamaanya kini adalah untuk memastikan anak-anaknya hidup dalam keadaan baik.

"Bagi saya hak tetap hak yang saya perlu perjuangkan demi masa depan anak-anak, bukannya untuk diri saya.

"Ini kerana saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada saya pada masa hadapan," katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan anak-anak tinggal di rumah baharu, Dr Fie berkata, mereka menerimanya dengan baik dan yang penting ia selesa.

"Alhamdulillah saya dah berpindah ke rumah baharu dan sebab itulah saya harap semuanya selesai dengan cepat," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi Syariah Seremban tetapkan 24 Februari untuk Nubhan Ahmad memasukkan pembelaan dalam tuntutan saman harta sepencarian oleh bekas isteri
  • Nubhan tidak hadir proses sulh pada 8 Januari dan diwakili peguam semasa penetapan tarikh
  • Afifah Hidayah atau Dr Fie hadir ke mahkamah dengan keluarga dan peguam, serahan saman kepada Nubhan dibuat pada 19 Januari
  • Mahkamah menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes, membolehkan pihak plantif memasukkan jawapan balas kepada pembelaan
  • Dr Fie harap proses tuntutan harta sepencarian untuk masa depan tiga anaknya berjalan lancar dan Nubhan memberi kerjasama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!