Peruntukan segera RM1.2 juta tangani banjir di LMS - Pegawai khas TPM

Seramai 2,806 mangsa banjir daripada 955 keluarga dipindahkan ke 25 PPS di tempat daerah terjejas di Perak iaitu LMS, Manjung, Kerian dan Perak Tengah. - Foto: FB APM Negeri Perak
Seramai 2,806 mangsa banjir daripada 955 keluarga dipindahkan ke 25 PPS di tempat daerah terjejas di Perak iaitu LMS, Manjung, Kerian dan Perak Tengah. - Foto: FB APM Negeri Perak
A
A
A

TAIPING - Kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1.2 juta bagi pelaksanaan projek menangani masalah banjir di sekitar daerah Larut Matang dan Selama (LMS).

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Neow Choo Seong berkata, peruntukan itu akan disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak bagi menjalankan kerja pendalaman sungai, sistem perparitan dan projek tebatan banjir di kawasan terjejas.

"Peruntukan ini susulan lawatan bersama Datuk Amar (Fadillah) pada 3 Oktober lepas, yang kebetulan ketika itu berlaku banjir di Taiping. Beliau mengarahkan JPS menjalankan tinjauan serta mengemukakan cadangan bagi mengatasi masalah itu.

"Memandangkan banjir kini semakin kerap berlaku, beliau semalam mengarahkan supaya bantuan kecemasan luar jangka disegerakan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) ADTEC Taiping, malam ini.

Choo Seong berkata, jumlah peruntukan itu ditetapkan berdasarkan cadangan dikemukakan JPS sebelum ini.

Beliau memaklumkan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berharap projek tebatan berkenaan dapat dilaksanakan segera, terutama menjelang hujung tahun ini yang dijangka berlaku musim Monsun Timur Laut (MTL).

"Keadaan banjir yang berulang menyusahkan rakyat. Diharapkan peruntukan ini membawa khabar gembira dan membantu penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Choo Seong berkata, walaupun beberapa daerah lain turut berdepan masalah banjir, keperluan di daerah LMS dilihat paling mendesak ketika ini.

Setakat jam 8 malam ini, seramai 2,806 mangsa banjir daripada 955 keluarga dipindahkan ke 25 PPS di tempat daerah terjejas di Perak iaitu LMS, Manjung, Kerian dan Perak Tengah.

Artikel Berkaitan:

Daerah LMS merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan 2,006 daripada 708 keluarga berlindung di 19 PPS. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan meluluskan peruntukan RM1.2 juta untuk projek tebatan banjir di Larut Matang dan Selama
  • Peruntukan disalurkan melalui JPS Negeri Perak untuk pendalaman sungai dan sistem perparitan
  • Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan JPS mengatasi masalah banjir semasa lawatan ke Taiping pada 3 Okt
  • Projek diharap dapat dilaksanakan segera menjelang musim Monsun Timur Laut
  • Daerah LMS adalah kawasan paling teruk terjejas dengan 2,006 mangsa banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!