Banjir: Keranda kayu terkeluar, jenazah hanyut dibawa arus deras

Dimaklumkan terdapat beberapa kubur dilaporkan terhakis akibat banjir serta keranda kayu terkeluar hingga mengakibatkan jenazah di dalamnya hanyut dibawa arus deras. Foto Pembaca
Dimaklumkan terdapat beberapa kubur dilaporkan terhakis akibat banjir serta keranda kayu terkeluar hingga mengakibatkan jenazah di dalamnya hanyut dibawa arus deras. Foto Pembaca
A
A
A

BUKIT GANTANG - Banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama pada Khamis bukan sahaja menenggelamkan kawasan penempatan penduduk, malah turut menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan, Kuala Trong, di sini.

Penduduk memaklumkan, terdapat beberapa kubur dilaporkan terhakis serta keranda kayu terkeluar hingga mengakibatkan jenazah di dalamnya hanyut dibawa arus deras.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, insiden itu antara kesan paling menyedihkan dalam bencana kali ini memandangkan kawasan tersebut menjadi tempat persemadian penduduk tempatan.

Banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama pada Khamis turut menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan, Kuala Trong.
Banjir yang melanda daerah Larut, Matang dan Selama pada Khamis turut menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan, Kuala Trong.

"Bila saya tengok gambar yang dikongsi, memang menyayat hati. Batu nisan tercabut, ada keranda (papan lahad) yang sudah terkeluar.

"Kita difahamkan ada mayat yang hanyut, tetapi orang kampung sudah ambil untuk dikebumikan semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Simpang, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, tindakan segera akan diambil sebaik air surut termasuk menyewa jentera bagi menolak kembali tanah yang runtuh dan menutup semula kawasan berkenaan bagi mengelak gangguan lanjut.

"Ini tindakan segera. Saya anggap perkara ini darurat dan kalau perlu, saya guna dana sendiri untuk kerja menutup semula kawasan itu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Syed Abu Hussin menyantuni mangsa banjir ketika meninjau keadaan PPS SK Simpang pada Jumaat.
Syed Abu Hussin menyantuni mangsa banjir ketika meninjau keadaan PPS SK Simpang pada Jumaat.

Sementara itu, Syed Abu Hussin turut memaklumkan, mangsa banjir di kawasan Parlimen Bukit Gantang yang terdiri daripada ibu berpantang, warga emas uzur serta pesakit kronik akan ditempatkan sementara di hotel bagi menjamin keselesaan dan keselamatan mereka.

Katanya, langkah itu diambil susulan keadaan di beberapa PPS yang padat dan tidak sesuai untuk golongan berisiko tinggi.

"Ada yang sakit dan tidak mampu tidur di bangku, malah ada ibu baru bersalin bersama bayi kecil. Mereka ini akan dibawa ke hotel supaya dapat berehat dengan lebih selesa.

"Ini bukan soal kemewahan, tetapi keperluan demi kesihatan dan keselamatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, banjir kali ini adalah antara yang terburuk apabila hampir 2,000 mangsa dipindahkan ke 19 PPS di seluruh daerah dengan sebahagian besar kawasan sudah dua kali dinaiki air dalam tempoh sebulan.

Tambahnya, mengambil kira keadaan itu, sudah tiba masa kerajaan memberi keutamaan kepada pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan tersebut bagi mengelakkan insiden berulang setiap kali hujan lebat melanda.

"Banjir ini bukan pertama kali, ia berulang. Saya harap projek RTB di Bukit Gantang disegerakan kerana setiap kali tengkujuh, rakyat yang menanggung derita," ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Banjir melanda daerah Larut, Matang dan Selama serta menjejaskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan
  • Beberapa kubur terhakis dan jenazah hanyut dibawa arus deras
  • Ahli Parlimen Bukit Gantang akan mengambil tindakan segera menyewa jentera untuk menutup kembali tanah yang runtuh di perkuburan
  • Mangsa banjir termasuk ibu berpantang, warga emas, dan pesakit kronik akan ditempatkan sementara di hotel
  • Banjir ini merupakan salah satu yang terburuk dan mendesak perlunya pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir di kawasan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!