Restoran didakwa basuh lebihan makanan untuk dijual semula kepada pelanggan

Tangkap layar video tular pekerja restoran membasuh lebihan makanan
Tangkap layar video tular pekerja restoran membasuh lebihan makanan
A
A
A

SEREMBAN – Sebuah kedai nasi kandar di daerah ini didakwa membasuh lebihan makanan yang telah dihidangkan kepada pelanggan sebelum digunakan semula pada keesokan harinya.

Kejadian meloyakan itu dikongsi seorang pengguna media sosial yang mendakwa menyaksikan sendiri perbuatan berkenaan di belakang premis terbabit pada jam 12.18 tengah malam pada Selasa.

"Saya melihat seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, tauhu yang jelas merupakan lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang," katanya.

Dia memberitahu telah menegur perbuatan pekerja tersebut dan dimaklumkan yang baki makanan terbabit dicuci untuk digunakan semula pada keesokan hari.

Tangkap layar video tular memaparkan lebihan makanan yang dibasuh
Tangkap layar video tular memaparkan lebihan makanan yang dibasuh

Menurutnya, perkara itu tidak boleh diterima dan sangat membahayakan kesihatan orang awam.

"Pada mulanya, rakan pekerja lain cuba mengelirukan saya dengan jawapan yang tidak jujur, namun akhirnya tersasul dan mengaku bahawa makanan tersebut memang akan dimasak semula dan dikatakan 'tidak bahaya'.

"Saya ingin tegaskan bahawa perbuatan ini langsung tidak beretika, tidak selamat, dan sangat menjijikkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya lagi, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana percaya yakin perbuatan seperti itu bukan kali pertama dilakukan oleh pekerja kedai tersebut.

"Mohon orang ramai kongsi hantaran ini supaya lebih ramai sedar dan kejadian sebegini tidak terus berlaku serta membahayakan pengguna lain," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed dihubungi Sinar Harian memaklumkan akan mengarahkan pegawainya menyiasat dakwaan tersebut.

 

Ringkasan AI

  • Sebuah kedai nasi kandar di Seremban didakwa mencuci lebihan makanan untuk digunakan semula keesokan hari
  • Kejadian tersebut dikongsi oleh pengguna media sosial yang menyaksikan perbuatan itu di belakang premis pada tengah malam
  • Pekerja kedai tersebut dilihat mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, dan tauhu yang merupakan lebihan dari masakan
  • Pengguna media sosial itu menegur pekerja dan dimaklumkan makanan tersebut akan dimasak semula untuk digunakan keesokan harinya
  • Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Zuraida Mohamed, akan mengarahkan pegawai untuk menyiasat dakwaan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!