Menakjubkan, berbaloi datang dari jauh

Pada hari pertama, kedalaman air meningkat daripada 0.3 meter kepada 0.5 meter dalam tempoh singkat, justeru pengunjung diarahkan kembali ke darat demi keselamatan. Gambar kecil Nurdamia Irdina (kiri), Rama, Anas Malek dan Alf Zeigler.+

A
A
A

LUMUT - Fenomena air laut surut luar biasa yang mencetuskan pemandangan seolah-olah 'laut terbelah' di Teluk Nipah, Pulau Pangkor terus menjadi tarikan utama pelancong sekali gus menghidupkan suasana pulau peranginan itu.

Tinjauan pada Isnin mendapati lebih 3,000 pengunjung dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri laluan pasir yang timbul di tengah laut, malah menganggap pengalaman itu sebagai sesuatu yang jarang ditemui di destinasi pantai lain.

Pada tahun ini, fenomena tersebut berlaku selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula Isnin (2 Februari) hingga Rabu (4 Februari).

Pembentukan 'laut terbelah' itu membolehkan pengunjung berjalan kaki sepanjang 400 meter di atas beting pasir di Coral Beach, Teluk Nipah ke Pulau Giam.

Pada tahun ini, fenomena air laut surut luar biasa berlaku selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula Isnin (2 Februari) hingga Rabu (4 Februari).
Pada tahun ini, fenomena air laut surut luar biasa berlaku selama tiga hari berturut-turut iaitu bermula Isnin (2 Februari) hingga Rabu (4 Februari).

Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, G Rama, 41, berkata kunjungan pertamanya ke Pulau Pangkor bersama isteri, K Ambigai, 41, sempena percutian berdua mereka benar-benar berbaloi.

Menurutnya, mereka mengetahui mengenai fenomena air surut itu melalui saudara-mara dan ingin melihat sendiri bagaimana laluan laut seolah-olah terbelah di pertengahan pantai.

"Saya tengok pemandangan ini sangat cantik. Memang berbaloi datang sini. Saya tak pernah tengok di tempat lain. Di Selangor atau Seremban pun ada laut, tapi tak sama macam di sini. Ini sesuatu yang baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pelancong, Khairun Nisa Rozali, 30, dari Ipoh menunjukkan terumbu karang yang ditemui ketika pembentukan 'laut terbelah' yang membolehkan pengunjung berjalan kaki di atas beting pasir.
Pelancong, Khairun Nisa Rozali, 30, dari Ipoh menunjukkan terumbu karang yang ditemui ketika pembentukan 'laut terbelah' yang membolehkan pengunjung berjalan kaki di atas beting pasir.

Rama berkata, beliau bercadang untuk kembali bercuti ke Pulau Pangkor pada masa hadapan kerana tertarik dengan keunikan semula jadi yang dimiliki pulau berkenaan.

Keterujaan sama dikongsi Nurdamia Irdina Nazrullah, 17, dari Seremban, Negeri Sembilan, yang datang bersama keluarganya sempena cuti perayaan.

Katanya, walaupun hanya bermalam sehari, pengalaman menyaksikan fenomena laut terbelah itu sudah cukup bermakna buat mereka sekeluarga.

Pembentukan 'laut terbelah' itu membolehkan pengunjung berjalan kaki sepanjang 400 meter di atas beting pasir di Coral Beach, Teluk Nipah ke Pulau Giam.
Pembentukan 'laut terbelah' itu membolehkan pengunjung berjalan kaki sepanjang 400 meter di atas beting pasir di Coral Beach, Teluk Nipah ke Pulau Giam.

“Ini kali kedua kami datang ke Pangkor. Kali pertama dua tahun lepas. Kali ini memang datang khas nak tengok laut terbelah. Di Port Dickson pun tak pernah ada fenomena macam ni. Sangat mengujakan dan menakjubkan,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan sejauh kira-kira lima jam berbaloi kerana pemandangan seperti itu tidak pernah dilihat di tempat lain selain Pulau Pangkor.

Sementara itu, pelancong warga emas dari Ipoh, Kang Hock Seng, 76, berkata beliau bersama keluarga datang bercuti selama tiga semata-mata untuk menyaksikan fenomena tersebut.

“Ini kali pertama saya lihat. Sangat syok, tapi saya hanya berjalan separuh jalan sahaja. Walaupun keselamatan terjamin, saya risau paras air naik secara tiba-tiba,” katanya.

Pelancong warga emas dari Ipoh, Kang Hock Seng (kiri) bersama keluarga datang bercuti selama tiga ke Pulau Pangkor semata-mata untuk menyaksikan fenomena tersebut.
Pelancong warga emas dari Ipoh, Kang Hock Seng (kiri) bersama keluarga datang bercuti selama tiga ke Pulau Pangkor semata-mata untuk menyaksikan fenomena tersebut.

Bagi pelancong antarabangsa dari Switzerland, Alf Zeigler, 64, fenomena berkenaan bukan sahaja mengujakan, malah memberi pengalaman sosial yang luar biasa.

"Kami terkejut tengok begitu ramai orang, macam satu pesta besar. Pelbagai bangsa dan agama berkongsi pengalaman yang sama. Ia sangat menakjubkan," katanya yang sudah empat minggu bercuti di Pulau Pangkor.

Menurutnya, walaupun terdapat kawasan dasar laut yang berbatu dan kehadiran hidupan laut seperti gamat, pengalaman berjalan di tengah laut itu tetap menyeronokkan dan tidak menakutkan jika berhati-hati.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Mohd Saiful Bahri Abdul Talib memaklumkan pihaknya menggerakkan operasi kesiapsiagaan sepanjang tiga hari fenomena air pasang surut.

Menurutnya, seramai 10 anggota dikerahkan dengan tiga aset termasuk ambulans EMRS, sebuah bot dan kenderaan utiliti bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.

Polis Pelancong Balai Polis Pangkor ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengunjung di darat.
Polis Pelancong Balai Polis Pangkor ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengunjung di darat.

"Pelepasan bermula jam 10.30 pagi dan ditamatkan sekitar jam 11.20 pagi kerana paras air meningkat dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, pada hari pertama, kedalaman air meningkat daripada 0.3 meter kepada 0.5 meter dalam tempoh singkat, justeru pengunjung diarahkan kembali ke darat demi keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Balai Pangkor, Inspektor Muhamad Faizol Kamaluddin berkata, seramai 17 anggota termasuk Unit Pelancong dan Amanita ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengunjung di darat.

Katanya, fokus utama polis adalah memastikan ibu bapa tidak leka mengawasi anak-anak di gigi air serta aspek keselamatan jalan raya termasuk pemakaian topi keledar.

"Setakat ini tiada kejadian tidak diingini dilaporkan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Anas Malek Ishak berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar sepanjang fenomena itu berlaku.

Pengunjung kanak-kanak tidak melepaskan peluang bermain dengan hidupan akuatik di sepanjang pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam
Pengunjung kanak-kanak tidak melepaskan peluang bermain dengan hidupan akuatik di sepanjang pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam

Menurutnya, selain keselamatan pengunjung, MPM turut memberi penekanan kepada perlindungan hidupan laut seperti terumbu karang dan gamat di sekitar Pulau Giam.

Katanya, fenomena laut terbelah itu hanya berlaku sekitar satu hingga satu setengah jam bermula kira-kira jam 10.30 pagi sebelum air kembali pasang.

“Wisel akan dibunyikan untuk memberi isyarat kepada pelancong bila boleh melintas dan bila perlu berpatah balik," katanya.

MPM menjangkakan kehadiran pelancong bagi tempoh tiga hari itu boleh mencecah antara 50,000, meningkat berbanding sekitar 30,000 orang tahun lalu.

Ringkasan AI

  • Fenomena air laut surut luar biasa di Teluk Nipah, Pulau Pangkor tarik ramai pelancong
  • Lebih 3,000 pengunjung saksikan laluan pasir timbul di tengah laut
  • Fenomena berlaku selama tiga hari dari 2 hingga 4 Februari
  • Pengunjung boleh berjalan sepanjang 400 meter di atas beting pasir dari Coral Beach ke Pulau Giam
  • Pihak berkuasa tempatan dan bomba menggerakkan operasi kesiapsiagaan bagi keselamatan pengunjung

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!