Suspek tetak positif dadah direman tujuh hari

PASIR MAS - Seorang lelaki direman tujuh hari bermula Sabtu di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki yang dipercayai ditetak bertubi-tubi sehingga maut dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, Tumpat pada Jumaat.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie ketika dihubungi berkata, saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek dikatakan bekerja sendiri dan mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa. Isterinya merupakan sepupu kepada mangsa.
"Kita tidak menolak kemungkinan kes ini bermotif dendam namun siasatan lanjut masih lagi dijalankan," katanya.
Sinar Harian melaporkan seorang lelaki maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah di sini pada Jumaat.
Mangsa, Mohd Suhairi Hasim,46, bapa kepada dua orang anak yang merupakan pemandu jengkaut ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki direman tujuh hari bagi membantu siasatan kematian seorang bapa tunggal di Kampung Kok Bedollah, Tumpat
- Perintah reman dikeluarkan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
- Suspek berusia 45 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine
- Suspek mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa, isterinya merupakan sepupu kepada mangsa
- Mangsa, Mohd Suhairi Hasim, merupakan bapa kepada dua orang anak dan pemandu jengkaut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

