Lelaki maut ditetak bertubi-tubi, tangan dan kaki putus

TUMPAT - Seorang bapa tunggal maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi di beberapa bahagian badan sehingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah di sini pada Jumaat.
Mangsa, Mohd Suhairi Hasim, 46, bapa kepada dua orang anak yang bekerja sebagai pemandu jengkaut, ditemukan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 malam oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68.
Wan Salma berkata, semasa kejadian dia berada di dalam rumah dan sedang bersiap untuk tidur.
“Tiba-tiba saya terdengar teriakan kuat daripada Mohd Suhairi yang menyebut ‘ALLAH... ALLAH...’ lebih 20 kali.
“Saya terus bangun menuju ke tingkap dan bertanya, ‘Kamu bergaduh dengan siapa pula Hairi?’” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.
Menurut Wan Salma, Mohd Suhairi bagaimanapun tidak memberi respons, lalu dia segera ke tempat anaknya mencuci jengkaut yang terletak berhampiran rumah.
Kata warga emas itu, disebabkan keadaan gelap dan matanya rabun, dia telah memegang seorang lelaki yang disangkanya Mohd Suhairi sedang berdiri di hadapan jengkaut.
“Tiba-tiba lelaki itu yang merupakan anak saudara saya bersuara.
“Kata dia, ‘Aku buat anak kamu begini kerana dia telah tularkan anak aku.’ Kemudian dia terus berjalan pergi dan membawa bersama senjata seperti parang,” katanya.

Wan Salma memberitahu, disebabkan terlalu terkejut, dia hanya mampu melihat anak lelakinya itu terbujur kaku.
Ujarnya, darah memenuhi tubuh Mohd Suhairi yang dipercayai telah ditetak di beberapa bahagian badan sehingga terputus tangan kiri dan kaki kanan.
Kata beliau, anaknya juga ditetak di bahagian pipi, belakang serta bahu.
“Saya kemudian terus memanggil anak-anak lain yang kebetulan tinggal berhampiran untuk datang membantu.
“Mayat Mohd Suhairi kemudian dibawa ke Hospital Tumpat. Saya dimaklumkan bedah siasat akan dijalankan tengah hari ini,” katanya.
Menurutnya lagi, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.
Tambah Wan Salma, suspek yang juga sepupu kepada Mohd Suhairi telah ditangkap oleh pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, suspek yang berusia 40-an telah dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan tahanan reman.
Ringkasan AI
- Seorang bapa tunggal maut selepas ditetak di Kampung Kok Bedollah
- Mangsa adalah Mohd Suhairi Hasim, 46 tahun, dan bekerja sebagai pemandu jengkaut
- Ibunya, Wan Salma Wan Said, menemukan mangsa tidak sedarkan diri
- Suspek yang juga sepupu mangsa telah ditangkap oleh pihak polis
- Jenazah Mohd Suhairi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

