'Ayah pesan, berniaga laku atau tidak itu rezeki ALLAH, jaga nama baik Aziz Satar'

Ahli keluarga dan kenalan mengiringi pengebumian pasangan suami isteri yang juga pengusaha kedai makan terkenal, Warung Aziz Satar di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada Sabtu.
Ahli keluarga dan kenalan mengiringi pengebumian pasangan suami isteri yang juga pengusaha kedai makan terkenal, Warung Aziz Satar di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Pesanan terakhir pengusaha kedai makan terkenal, Warung Aziz Satar menjadi ingatan paling bermakna buat anak sulungnya sebelum dia dan isteri maut dalam kemalangan di Kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur berhampiran Maran, Pahang, pada Jumaat.

Mangsa, Aziz Awang, 68, dan isterinya, Hannah Mat Nong, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas kira-kira jam 7.30 malam.

Anak sulung pasangan itu, Rosmaini Aziz, 45, berkata, dia tidak menyangka pesanan bapanya itu adalah yang terakhir sebelum kedua-duanya pergi buat selama-lamanya.

“Sebelum mereka bertolak untuk bercuti di Cameron Highlands, saya sempat beritahu ayah saya mahu sertai karnival jualan di Kuala Terengganu dua minggu lagi.

“Ayah jawab, ‘pergilah, jaga nama baik Aziz Satar. Berniaga laku atau tidak, itu rezeki ALLAH tentukan, janji jaga nama baik Aziz Satar’,” katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada Sabtu.

Menurutnya, bapanya mengusahakan perniagaan satar lebih 30 tahun lalu dan kini mempunyai tujuh cawangan di sekitar daerah Kemaman yang diuruskan oleh adik-beradiknya.

“Semua 10 adik-beradik saya terlibat dalam perniagaan keluarga, kecuali seorang yang bekerja dalam bidang lain. Insya-ALLAH, kami akan kekalkan dan terus kembangkan legasi ayah,” ujarnya.

Rosmaini turut berkongsi bahawa arwah ibunya sebelum itu beberapa kali menyebut mahu ‘berpindah’, tanpa menjelaskan ke mana ingin dituju.

“Ibu biasanya tidak suka berjalan-jalan, tapi kali ini bersungguh mahu ke Cameron Highlands. Kami suruh tunggu minggu depan dan pergi bersama anak-anak, tapi ibu tetap mahu pergi. Kami tidak bimbang sebab ayah biasa memandu jauh.

Artikel Berkaitan:

“Ibu juga beberapa kali beritahu dia mahu pindah, tapi kami tak sangka bukan hanya ibu yang pindah, tetapi ibu dan ayah berpindah ke ‘alam’ lain,” luahnya sebak.

Menurut Rosmaini, pasangan itu bertolak ke Cameron Highlands bersama tiga pekerja dan seorang anak pekerja mereka selepas singgah di kedai satar miliknya di Kampung Geliga, di sini.

Sementara itu, pekerja warung yang terselamat dalam kemalangan, Noraini Mamat, 45, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila kepala pemandu (Aziz) terkulai sebelum kenderaan mereka terbabas ke kiri lebuh raya.

“Saya cuba membuka pintu belakang dan membawa anak keluar. Saya juga cuba bantu yang lain, tapi mereka tersepit. Dalam keadaan cemas itu saya cuba minta bantuan orang ramai,” katanya yang telah sembilan tahun bekerja dengan keluarga berkenaan.

Menurutnya lagi, kedua-dua majikannya peramah, prihatin dan tidak pernah mengabaikan kebajikan pekerja.

“Mereka sangat baik dan selalu bawa kami bercuti. Tak sangka, percutian kali ini adalah yang terakhir buat mereka,” katanya.

Jenazah pasangan itu disolatkan di Masjid Geliga sebelum dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira jam 11 pagi.

Tiga lagi mangsa kemalangan, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, terselamat tanpa kecederaan, manakala Che Siti Suhaida Che Amat, 27, dan Rohani Chik, 65, cedera di bahu serta leher dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

Ringkasan AI

  • Pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar dan isterinya maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur
  • Aziz Awang dan Hannah Mat Nong meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan mereka terbabas
  • Anak sulung mereka mendapat pesanan terakhir dari ayahnya untuk menjaga nama baik Aziz Satar
  • Kelurga Aziz telah mengusahakan perniagaan satar lebih 30 tahun dan mempunyai tujuh cawangan di Kemaman
  • Pekerja warung yang terselamat dalam kemalangan menyatakan kepala pemandu terkulai sebelum kenderaan terbabas, dan kedua-dua majikan sangat peramah dan prihatin terhadap pekerja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!