Hadiah Deepavali paling bermakna buat penghuni estet Prang Besar

SHAH ALAM - Sambutan Deepavali kali ini bermakna buat 167 bekas penghuni ladang estet Prang Besar ekoran penantian 27 tahun untuk memiliki kediaman kekal akhirnya menjadi kenyataan.
Mangala Devi, 51, antara penerima tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil pada 6 Oktober lalu.
Beliau sebelum ini mendiami penempatan sementara Rumah Kos Rendah (RKR) Taman Permata, Dengkil selepas dipindahkan sekitar 1998 dari ladang Prang Besar, Sepang.
“Flat di sana (RKR Taman Permata) memerlukan saya menaiki tangga. Walaupun rumah saya tingkat satu, saya mengalami sakit lutut. Jadi nanti bila semakin tua mungkin akan timbul masalah.
“Saya gembira dapat rumah baharu dan secepat mungkin mahu pindah ke sini. Ini hadiah Deepavali tahun ini. Terima kasih kerajaan Selangor untuk rumah teres ini,” katanya kepada Media Selangor.
Kerani, M Ravi, 59, pula menyifatkan penyelesaian pemilikan rumah itu hadiah bermakna kepada sekeluarga sempena Deepavali lantaran mereka dapat memiliki kediaman sendiri.
“Saya sejak 2001 tinggal di flat Taman Permata. Jadi keadaannya sudah teruk sekarang. Memang sangat gembira bila dapat rumah ini tahun ini,” katanya.
Pesara, Nordin Sitam, 62, yang dibesarkan di estet Prang Besar lega apabila penantian berakhir dengan kediaman tetap yang lebih selesa berbanding rumah sementara sebelum ini.
“Sudah 16 tahun tunggu. Hari ini muncul. Alhamdulillah dengan rezeki ini. Dulu kami tinggal di flat dengan satu bilik air sahaja. Kini, rumah baharu ini selesa untuk keluarga,” katanya.
Penyerahan surat tawaran itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 6 Oktober lalu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Exco Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah.
Para penghuni menerima surat tawaran PPR Ampar Tenang bernilai lebih RM88 juta yang ditanggung kerajaan sepenuhnya.
PPR itu mempunyai 404 unit rumah teres satu tingkat dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air.
Penerima yang terdiri daripada pekerja empat ladang iaitu Ladang Prang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely selama ini tinggal di perumahan sementara di RKR Taman Permata, Dengkil.
PPR Ampar Tenang dibangunkan khas untuk menempatkan semula penduduk RKR tersebut yang disahkan tidak lagi selamat diduduki akibat masalah keretakan serius.
Sementara itu, Exco Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu memberitahu, sebanyak 22,150 baucar Jom Shopping Perayaan bernilai RM200 diagih di seluruh negeri sempena sambutan berkenaan.
Menjelaskan kadar baucar sebelum ini hanya RM100, beliau memberitahu permohonan tertinggi datangnya dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa iaitu lebih 700 baucar.
Beliau juga mengajak orang ramai untuk memeriahkan sambutan Hari Deepavali peringkat negeri yang dijadual berlangsung pada 17 Oktober di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang.
Menurutnya, program dijangka dihadiri kira-kira 10,000 tetamu dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat serta bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor.
Ringkasan AI
- Sambutan Deepavali bermakna buat 167 bekas penghuni ladang estet Prang Besar dengan penantian 27 tahun untuk memiliki kediaman kekal
- Menerima tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil pada 6 Oktober
- PPR ini mempunyai 404 unit rumah teres satu tingkat dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air
- Penyerahan surat tawaran oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, dan projek bernilai lebih RM88 juta ditanggung kerajaan sepenuhnya
- Sebanyak 22,150 baucar Jom Shopping Perayaan bernilai RM200 diagih sempena sambutan Deepavali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
