'ALLAH hadirkan orang baik untuk keluarga kami' - Ibu Zara Qairina

KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu yang maut selepas terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di sini meluahkan rasa terharu atas sokongan dan doa orang ramai yang tidak putus-putus mengiringi keluarganya sejak tragedi menyayat hati itu berlaku.
Solidariti masyarakat khususnya warga maya jelas dizahirkan menerusi tanda pagar #JusticeForZara yang terus tular di media sosial sebagai simbol tuntutan terhadap keadilan.
Noraidah Lamat, 45, turut menyatakan penghargaan kepada pihak media yang memainkan peranan menyebarkan maklumat berkaitan insiden yang menimpa anak perempuannya pada 17 Julai lalu.
“Terima kasih atas sokongan media. Alhamdulillah, ALLAH hadirkan orang-orang yang baik untuk keluarga kami.
"Semoga segala kebaikan akan kembali kepada kalian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.
Sebelum ini, Noraidah berharap agar siasatan dijalankan secara telus, adil dan saksama, tanpa menyembunyikan sebarang perkara yang tidak sepatutnya.
Beliau sebelum ini juga sudah hadir ke balai polis untuk memberikan keterangan dan hanya mahu keadilan untuk anaknya selain pihak lain tidak menyembunyikan kebenaran.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari bangunan asrama perempuan di sebuah sekolah berasrama agama di Papar, sekitar jam 3 pagi, Rabu, 16 Julai lalu dan meninggal dunia pada keesokan harinya ketika menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan kes berkenaan.
Menurut kenyataan itu, keutamaan JPN Sabah ketika ini adalah memastikan kebajikan keluarga Allahyarham terjaga dan bantuan segera telah disalurkan.
"Beberapa siri ziarah cakna telah diadakan untuk menyantuni keluarga serta berkongsi perkembangan semasa kes. Khidmat sokongan psikososial turut disediakan,” kata kenyataan itu.
JPN Sabah turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi membantu pihak sekolah melaksanakan intervensi krisis dan trauma kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan dengan kejadian berkenaan.
"JPN Sabah mendoakan agar seluruh ahli keluarga Zara Qairina diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini," kata kenyataan tersebut.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran pula menggesa supaya siasatan dipercepatkan bagi menangkis pelbagai dakwaan dan andaian yang tular di media sosial berhubung kejadian tersebut.
"Kita tunggu, berikan ruang untuk pihak berkuasa polis untuk menyiasat kerana kes ini bukanlah satu kes yang ringan. Ini melibatkan nyawa yang telah tergadai tetapi untuk mendakwanya bukan mudah.
"Cuma siasatan perlulah disegerakan untuk menangkis segala dakwaan dan andaian yang dibuat di media sosial sebelum ini," katanya.
Sehubungan itu, Mohammad Arif berharap kerjasama daripada masyarakat untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menentukan dan melakukan tindakan mereka.
"Jadi sama-sama kita menunggu daripada pihak yang berkuasa, Menteri Pendidikan sudah menegaskan jika ada berlakunya buli di tempat tersebut, maka harus diberi tindakan yang tegas kepada pelaku buli ini. Jadi ini ditangani dengan baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob turut menegaskan bahawa siasatan terhadap kes tersebut perlu dijalankan secara menyeluruh tanpa menyembunyikan sebarang maklumat.
“Bedah siasat sudahpun dilakukan kerana ia melibatkan kematian, dan kita yakin pihak polis tahu bagaimana untuk menyiasat punca sebenar kejadian ini.
“Pihak JPN dan Kementerian Pendidikan juga perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh.
"Sebagai wakil rakyat, saya minta kes ini tidak ditutup begitu sahaja. Bayangkan perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tunggal, harapan satu keluarga.
“Kita ini manusia, jadi jangan ada pihak cuba melindungi sesiapa. Saya akan menentang. Jika tidak diselesaikan, kita akan cari jalan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
