Belanjawan 2026 tanda iltizam Kerajaan Madani perangi rasuah

SHAH ALAM - Belanjawan 2026 merupakan suntikan semangat baharu dalam usaha memperbaharui iltizam kerajaan untuk memerangi rasuah secara sistematik dan inklusif.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi pengumuman insentif pemotongan cukai sebanyak 10 peratus kepada syarikat swasta yang menyumbang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan program atau kempen antirasuah.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa Rasuah Busters berpendapat, langkah itu merupakan satu inovasi dasar yang signifikan oleh Kerajaan Madani, bukan sahaja memperkukuh sokongan kepada masyarakat sivil tetapi juga membina ekosistem kolaboratif antara kerajaan, sektor swasta dan NGO dalam memerangi gejala rasuah.
“Insentif cukai ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar membuat kenyataan politik, tetapi benar-benar memperbaharui komitmen untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan insentif potongan cukai pendapatan kepada syarikat dan individu yang menyumbang kepada program pencegahan rasuah serta inisiatif pembangunan komuniti seperti Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani.
Langkah itu bertujuan menggalakkan penglibatan sektor swasta secara lebih aktif dalam agenda sosial dan tadbir urus negara.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat, program pencegahan rasuah anjuran masyarakat sivil yang diiktiraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diluluskan sebagai projek berkepentingan nasional. Ini bermakna penderma yang membuat sumbangan tunai kepada program berkenaan layak mendapat potongan cukai.
Tambah Helmi, MEH yang telah lama menggerakkan Kempen Sedar Halal Banteras Rasuah menyambut baik dasar tersebut dan menyifatkannya sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap peranan masyarakat sivil dalam membanteras rasuah daripada akar umbi.
Beliau turut menyatakan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu banyak bergantung kepada janji memerangi rasuah, namun kebelakangan ini momentum tersebut dilihat semakin pudar.
“Dengan pembentangan Belanjawan 2026, kerajaan menghantar mesej yang jelas bahawa perjuangan melawan rasuah belum selesai, malah memerlukan penglibatan lebih menyeluruh daripada semua pihak,” tambah beliau.
Dalam konteks semasa, katanya, isu rasuah dilihat semakin meruncing terutama dalam kalangan agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan awam.
Justeru, tegas beliau, satu gerakan yang komprehensif, berprinsip dan konsisten perlu digerakkan secara bersama dari atas dan bawah.
“Kegagalan menangani isu rasuah bukan sahaja mencemarkan integriti institusi awam, malah akan membawa kepada keruntuhan struktur pembangunan negara secara keseluruhan.
“Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi harus dilihat sebagai vektor strategik dalam perang melawan rasuah yang menyatukan kerajaan, swasta dan pertubuhan sivil ke arah agenda negara yang lebih bersih dan berintegriti,” katanya lagi.
MEH turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama lebih erat dengan pelbagai agensi dan NGO bagi memastikan dana dan insentif yang diumumkan benar-benar sampai kepada program yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Ringkasan AI
- Belanjawan 2026 bertujuan memperbaharui komitmen kerajaan memerangi rasuah secara inklusif dan sistematik
- Insentif pemotongan cukai sebanyak 10 peratus diberikan kepada syarikat swasta yang menyumbang kepada NGO antirasuah
- Inisiatif ini adalah inovasi dasar Kerajaan Madani untuk memperkuat sokongan kepada masyarakat sivil dan membina ekosistem kolaboratif antirasuah
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen menjadikan Malaysia negara bebas rasuah melalui insentif cukai ini
- Program pencegahan rasuah yang diiktiraf SPRM akan diluluskan sebagai projek berkepentingan nasional, membolehkan penderma layak mendapat potongan cukai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

