Ismail Sabri sambut baik Belanjawan 2026, fokus rakyat luar bandar

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut baik fokus Belanjawan 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat luar bandar, kemudahan kesihatan serta usaha menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.

Beliau berkata, walaupun belum meneliti keseluruhan teks Belanjawan yang dibentangkan, beliau melihat banyak inisiatif yang memberi manfaat terus kepada masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.

“Belum sempat baca sepenuhnya, tapi saya nampak banyak perkara yang memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ke-4 di Hotel Royale Chulan di sini pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, antara perkara yang menarik perhatian beliau ialah peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak, yang mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keseimbangan pembangunan antara wilayah.

Katanya, tumpuan terhadap sektor seperti hospital, klinik desa serta sekolah termasuk sekolah daif jelas menggambarkan keutamaan kerajaan dalam membangunkan kemudahan asas yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Saya lihat fokus kali ini lebih kepada rakyat, terutama dalam memperbaiki kemudahan awam yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat luar bandar,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menyambut baik tekad kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, masih terdapat kira-kira 7,000 isi rumah miskin tegar di seluruh negara yang akan dinoktahkan tahun ini melalui pelbagai program dan inisiatif berfokus rakyat.

“Kalau angka itu betul, maknanya kita hampir menamatkan fasa kemiskinan tegar di Malaysia. Ini satu perkembangan yang sangat positif dan saya ucap tahniah kepada Perdana Menteri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perjuangan membasmi kemiskinan dan memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu perlu dilihat sebagai dua cabang perjuangan bangsa yang saling melengkapi.

“Kemajuan tidak boleh diukur semata-mata pada angka ekonomi. Ia mesti seiring dengan maruah bangsa, dan Bahasa Melayu adalah teras kepada jati diri kita,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan dan komitmen tinggi dalam memperjuangkan isu rakyat serta memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata, semangat itu perlu diteruskan sebagai dasar tetap kerajaan agar pembangunan rakyat seiring dengan pembinaan jati diri bangsa.

“Perjuangan ini bukan baharu. Sejak zaman mahasiswa lagi kita memperjuangkan dua perkara – bahasa dan rakyat miskin. Saya harap kesinambungan ini tidak terhenti,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan resolusi Simposium Aspirasi Bahasa Melayu 2025 akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai dokumen rasmi rujukan dasar dan panduan pelaksanaan agenda bahasa kebangsaan.

“Resolusi ini akan dihantar kepada Perdana Menteri untuk dijadikan panduan dalam memperkukuh dasar bahasa dan pendidikan di peringkat ASEAN,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyambut baik Belanjawan 2026 yang fokus kepada pembangunan rakyat luar bandar dan kemudahan kesihatan
  • Inisiatif dalam belanjawan banyak manfaat kepada masyarakat luar bandar dan golongan berpendapatan rendah
  • Peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak mencerminkan komitmen kerajaan dalam keseimbangan pembangunan
  • Tekad kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini dengan dinoktahkan kira-kira 7,000 isi rumah miskin tegar
  • Ismail Sabri menekankan pentingnya perjuangan membasmi kemiskinan dan memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu sebagai saling melengkapi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!