[VIDEO] Dana Rakan Muda bantu atasi pengangguran belia - Hannah

A
A
A

IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memanfaatkan peningkatan peruntukan bagi program Rakan Muda untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di negara ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, peruntukan RM40 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi program berkenaan meningkat 60 peratus berbanding RM25 juta tahun ini.

Jelas beliau, peningkatan itu menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap inisiatif KBS dalam memperkasakan golongan muda melalui pelbagai aktiviti pembangunan kemahiran dan gaya hidup sihat.

“Salah satu KPI (petunjuk prestasi utama) yang kita nak adalah menggunakan program Rakan Muda untuk membantu kurangkan pengangguran dalam kalangan belia.

"Antara faktor yang telah kita kenal pasti punca pengangguran kumpulan belia ini, ramai yang tidak tahu, tak fasih bahasa Inggeris. Jadi kita akan gunakan di bawah Rakan Mahir untuk melengkapkan kemahiran mereka," katanya.

Hannah ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, pada Sabtu.
Hannah ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hannah turut meluahkan rasa gembira dengan pembentangan Belanjawan 2026 yang mengekalkan beberapa peruntukan penting di bawah KBS termasuk Geran Padanan Sukan, Dana Sukan Komuniti dan inisiatif Road to Gold (RTG) yang menerima peningkatan dana daripada RM10 juta kepada RM12 juta.

Katanya, peruntukan sebanyak RM120 juta juga disalurkan bagi persediaan menghadapi Temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027.

"Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana keyakinan beliau terhadap program-program yang telah dilaksanakan oleh KBS bagi kumpulan sasaran kita iaitu belia dan kumpulan yang bersukan.

"Hasrat kita adalah untuk melicinkan lagi permohonan-permohonan Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti supaya duit ini sampai kepada peringkat akar umbi untuk melaksanakan latihan dan juga persediaan sukan,” jelasnya.

Mengulas mengenai kebajikan bekas atlet, Hannah berkata peruntukan khas akan terus disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEP) seperti tahun-tahun sebelumnya, namun jumlah terperinci masih dalam penelitian.

Pada Jumaat, Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2026 telah memperuntukkan lebih RM580 juta untuk pembangunan sukan.

Peruntukan yang disediakan itu merangkumi RM160 juta untuk Program Podium, RTG, pemerkasaan atlet para dan pekak.

Selain itu peruntukan sebanyak RM120 juta turut disediakan bagi persiapan Temasya Sukan SEA & Para ASEAN 2027 yang akan diadakan di Malaysia.

Sejumlah RM280 juta turut disediakan bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti sukan seluruh negara.

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Belia dan Sukan meningkatkan peruntukan program Rakan Muda menjadi RM40 juta untuk kurangkan pengangguran belia Peningkatan peruntukan itu adalah sebanyak 60 peratus dari RM25 juta tahun sebelumnya Inisiatif ini bertujuan memperkasakan golongan muda melalui pembangunan kemahiran dan gaya hidup sihat Program Rakan Muda digunakan untuk melengkapkan kemahiran belia, termasuk kemahiran berbahasa Inggeris Belanjawan 2026 memperuntukkan lebih RM580 juta untuk pembangunan sukan, termasuk persediaan Temasya Sukan SEA & Para ASEAN 2027

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!