Rasionalisasi subsidi BUDI95 bukan diskriminasi

SHAH ALAM - Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 menerusi Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan menggunakan MyKad sebagai sistem digital pengesahan bukanlah satu bentuk diskriminasi apabila lebih 10 juta daripada 16 juta warganegara yang layak telah menikmati harga RM1.99 seliter sejak mula diperkenalkan pada 27 September lalu.
Ahli Dewan Negara, Dr Jufitri Joha berkata, penyelarasan harga itu dilihat menepati sasaran kerajaan untuk memastikan hanya rakyat yang layak menerima subsidi dengan harga rendah, sekali gus mengekang ketirisan dan meningkatkan daya tahan ekonomi negara.
Menurut beliau, penyusunan semula subsidi itu dengan menetapkan pemilikan lesen memandu sah pula secara tidak langsung mendidik kesedaran sivik masyarakat terhadap pematuhan undang-undang jalan raya.
“Sebagai rakyat mereka perlu ada MyKad dan sekiranya menggunakan jalan raya, mestilah mempunyai lesen memandu. Dalam konteks ini, kerajaan ada tanggungjawab membantu rakyat dan rakyat perlu bersama-sama membangunkan negara.
“Sebenarnya tiada pun diskriminasi, yang ada adalah untuk kesedaran rakyat bahawa untuk menikmati subsidi kena ada give and take. Mereka ada tanggungjawab bersama-sama memajukan negara dengan membayar cukai lesen kenderaan ini,” katanya pada program Interviu x Podcast bertajuk ‘Berbudi95 kepada rakyat’ yang dihoskan oleh Haizir Othman di Karangkraf pada Khamis.
Jufitri berkata, peranan kepimpinan komuniti penting dalam menyampaikan naratif positif dan meningkatkan pemahaman masyarakat secara kolektif terhadap tujuan sebenar pelaksanaan BUDI95.
“Apabila saya turun padang rata-rata rakyat mengatakan perkara ini menyusahkan, namun apabila kita rasionalkan balik bahawa tindakan kerajaan itu sebenarnya menjimatkan duit kerajaan yang hasilnya dikembalikan semula kepada rakyat, barulah mereka nampak objektif sebenar inisiatif itu.
“Dalam konteks yang lebih bawah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkaitan perlu memainkan peranan menerangkan baik buruknya tindakan kerajaan, apa yang bagus dan ada bahagian perlu diterangkan.
“Pihak kerajaan pula, saya mencadangkan sebarang bentuk inisiatif yang mengejutkan rakyat perlu ada komunikasi strategik, bincang tiga hingga empat bulan awal dan melakukan tempoh percubaan supaya golongan sasar diberi peluang untuk rayuan dan sebagainya,” katanya
Ditanya mengenai keperluan melaksanakan rasionalisasi subsidi ketika ini, Jufitri berkata, tindakan kerajaan itu merupakan langkah tepat bagi memastikan kestabilan fiskal negara untuk jangka panjang.
Beliau berkata, keberanian politik yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi faktor utama yang memungkinkan dasar itu dilaksanakan selepas sekian lama tertangguh.
“Kalau tidak dilaksanakan sekarang yang akan menanggung adalah generasi masa depan. Sebab itu di negara-negara maju, mereka telah menggubal Akta Kesejahteraan Generasi iaitu setiap polisi atau tindakan, mereka perlu fikir untuk jangka panjang.
“Bagi saya itulah keberanian politik yang sebenar dan tindakan itu walaupun mungkin dikecam tidak popular tetapi rakyat akan merasai kesannya,” katanya.
Kelebihan penjimatan sehingga RM4 billion
Tambah Jufitri, program BUDI95 dijangka memberikan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun kepada kerajaan, membolehkan lebihan kewangan disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan lain.
Jelas beliau, wang tersebut boleh digunakan dalam bidang pendidikan antaranya bantuan sekolah daif, disalur ke tabung pendidikan menerusi belanjawan negara.
“Selain itu, elaun penggerak komuniti bagi kawasan Rukun Tetangga (KRT) mungkin boleh dikembalikan supaya mereka fokus menjaga kebajikan di taman perumahan.
“Saya juga mencadangkan guru-guru KAFA yang sebelum ini berstatus kontrak diganti kepada jawatan tetap, begitu juga dengan fasiliti kesihatan, klinik-klinik padat seumpamanya, inilah antara kebaikan daripada penjimatan BUDI95 ini,” ujarnya.
Bagi langkah seterusnya memastikan program itu kekal relevan, Jufitri turut menyarankan kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan analisis pasca pelaksanaan terhadap keberkesanan program rasionalisasi subsidi itu.
Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan program yang diperkenalkan bukan sahaja mencapai objektif tetapi memberi kesan positif dan adil kepada semua lapisan rakyat, termasuk golongan rentan.
“Setiap program baharu yang dilaksanakan perlu disusuli dengan semakan semula keberkesanan bagi menilai kelemahan dan menyemak ruang penambahbaikan.
“Rakyat juga digalakkan menyalurkan pandangan atau kritikan secara terus kepada kerajaan supaya setiap cadangan boleh dipertimbangkan dalam kerangka dasar yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Kata Jufitri, kerajaan juga disaran memperkukuh komunikasi strategik dengan rakyat bagi menjelaskan bahawa subsidi bahan api tidak boleh dikekalkan untuk jangka panjang berikutan ia bergantung kepada sumber hasil negara yang semakin terhad.
Menurutnya, masyarakat perlu diberi kefahaman bahawa hasil daripada pengeluaran minyak tidak akan mampu menampung keperluan subsidi secara berterusan, terutama apabila berlaku ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran global yang boleh menekan harga pasaran serta beban kewangan kerajaan.
“Kita tahu bahawa hasil simpanan minyak pun dia tidak selama-lamanya mencukupi dan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dilihat sebagai langkah jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil itu.
“Mungkin kereta EV mahal ketika ini tetapi untuk masa depan, ia mempunyai tahapnya menjadikan lebih mampu milik sepertimana evolusi penggunaan telefon bimbit.
“Setiap perubahan memang mengambil masa dan memerlukan penerangan berterusan supaya rakyat dapat menyesuaikan diri dengan hala tuju baharu negara,” jelasnya.
Jufitri berkata, program bantuan termasuk subsidi bersasar tersebut bukan sekadar dinikmati tetapi perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam membina negara.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab dan kita sebagai rakyat perlu ada rasa sama menjadi masyarakat Madani yang mandiri, yang merdeka mindanya, merdeka ekonominya dan kembali menyumbang kepada sama ada dalam bentuk cukai dan zakat,” katanya.
Ringkasan AI
- Lebih 10 juta warganegara menikmati harga RM1.99 seliter untuk petrol RON95 melalui sistem Budi Madani RON95 yang menggunakan MyKad
- Penyelarasan harga bertujuan untuk memastikan hanya rakyat yang layak menerima subsidi, meningkatkan daya tahan ekonomi dan mengekang ketirisan
- Pemilikan lesen memandu sebagai syarat subsidis melatih kesedaran sivik dan pematuhan undang-undang jalan raya
- Program BUDI95 dijangka memberikan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun kepada kerajaan, memboleh aliran kewangan untuk pembangunan lain
- Pentingnya komunikasi strategik dan peran serta masyarakat dalam pembangunan negara serta tanggungjawab bersama dalam membina negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
