Masa depan yang tidak boleh ditangguh

ChatGPT seharusnya memudahkan latihan serta kerja, Namun, ia sering disalah guna dengan hanya mengambil maklumat secara terus tanpa membuat sebarang olahan. Gambar kecil: Nadhirah
ChatGPT seharusnya memudahkan latihan serta kerja, Namun, ia sering disalah guna dengan hanya mengambil maklumat secara terus tanpa membuat sebarang olahan. Gambar kecil: Nadhirah
A
A
A

ANAK muda mana yang suka mereka dibanding-bandingkan? Buka sahaja media sosial, pasti banyak kandungan menyajikan pelbagai gaya hidup mempesona setiap mata yang menonton.

Mungkin segalanya nampak real orang kata, namun hakikatnya apa yang dilihat di media sosial tidak menggambarkan keseluruhan kehidupan seseorang itu.

Demi mengejar apa yang kita rasa indah di mata, mungkin akan ada banyak idea muncul.

Oleh sebab itu, kita perlu mendidik anak muda dengan nilai dan hikmah yang akan membentuk mereka pada masa akan datang.

Seperti isu integriti, ia bukan pilihan tapi satu keperluan dalam melalui kehidupan.

Tanpa integriti, bakat seseorang itu boleh jadi akan melahirkan kerosakan kemudian hari.

Banyak kita lihat anak muda yang berlumba-lumba berbelanja tanpa mengukur baju di badan sendiri. Akibatnya, ramai yang terperangkap dengan hutang pada usia muda.

Statistik menunjukkan sejak tahun 2020 hingga kini, seramai 5,272 belia berumur 34 tahun dan ke bawah diisytihar muflis.

Daripada jumlah itu, 5,189 dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun dan 83 lagi di bawah 25 tahun.

Artikel Berkaitan:

Cabaran ini dilihat datang daripada tekanan materialisme, normalisasi rasuah kecil, budaya jalan pintas dan pengaruh dunia digital.

Normalisasi rasuah kecil contohnya, boleh berlaku dengan mudah dalam kalangan anak muda kerana ia tidak nampak secara nyata.

Contoh paling dekat seperti menipu dan plagiat hasil kerja orang lain.

Beberapa kali kita dengar isu sesetengah syarikat besar yang cuba menganiaya karya anak seni tempatan yang sedang bertatih jalan.

Lagi-lagi pada musim perayaan, bila mana ramai berlumba menghasilkan produk mempunyai demand yang tinggi tapi mengambil jalan pintas.

Menipu dalam menyiapkan assignment kerja universiti juga turut menjadi kerisauan pada masa kini.

Dengan adanya teknologi yang semakin laju seperti ChatGPT seharusnya memudahkan latihan serta kerja.

Namun, ia sering disalah guna dengan hanya mengambil maklumat secara terus tanpa membuat sebarang olahan.

Ada juga yang mempromosi khidmat menyiapkan assignment dengan bayaran tertentu.

Budaya ini nyata memberi impak jangka masa panjang yang bakal merosakkan generasi masa depan.

Generasi tangkap muat yang hanya tahu membuat salinan tanpa memproses data yang diperoleh.

Oleh sebab itu, integriti ini perlu dibentuk melalui didikan dan ekosistem yang sentiasa menyokong.

Ia bukan teori semata-mata, tetapi nilai dan teladan yang perlu ditunjukkan generasi kini.

Setiap institusi, universiti, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan masing-masing dalam mempraktikkan integriti ini secara konsisten.

Kempen seperti dilaksanakan IKRAM dan Rasuah Busters dalam melaksanakan Kempen Integriti dan Antirasuah (KIAR) dilihat satu usaha yang wajar dipuji dan diteruskan.

Salah satu aktiviti yang melibatkan anak muda seperti Pertandingan Video Pendek KIAR 2025 dan Pertandingan Melukis Komik Banteras! yang masih berlangsung sehingga 25 Januari tahun hadapan.

Inisiatif seperti ini amat penting untuk menarik golongan muda cakna dan mengambil peduli tentang integriti dan antirasuah di Malaysia.

Ia harus menjadi bual mulut agar anak muda dapat dididik dengan rasa integriti dan antirasuah sedari awal.

Diharap agar apa yang diikhtiarkan hari ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang mapan dan mempunyai nilai dipandang tinggi.

Ingatlah integriti hari ini merupakan masa depan yang tidak boleh ditangguh.

*Nadhirah Khairudin ialah Pegawai Advokasi (Konten & Grafik) Pertubuhan IKRAM Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!