Belanjawan 2026 utamakan keperluan rakyat

PEMBENTANGAN Belanjawan 2026 yang mengangkat tema 'Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' dilihat sebagai satu langkah berani dan realistik dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Ia merupakan Belanjawan Madani keempat sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran pada akhir 2022.
Belanjawan kali ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi mencerminkan iltizam kerajaan untuk menyeimbangkan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM470 bilion bagi Belanjawan 2026, jumlah yang lebih besar berbanding RM452 bilion pada tahun ini.
Antara intipati yang menarik perhatian masyarakat adalah peruntukan untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan kepada RM7.9 bilion, RM2.62 bilion untuk pesawah, elaun sara sehingga RM300 sebulan buat para nelayan dan jaminan baki 7,000 isi rumah miskin tegar di seluruh negara dinoktahkan sebelum akhir tahun ini.
Selain itu, peruntukan RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2026 yang memanfaatkan hampir sembilan juta penerima, 22 juta rakyat terima RM100 SARA serta pendidikan percuma kepada pelajar institut pendidikan tinggi awam (IPTA) keluarga miskin.
Bagi konteks memartabatkan syiar Islam di negara ini, kerajaan menyalurkan peruntukan keseluruhan RM2.6 bilion untuk menambah baik prasarana sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz serta melaksanakan program masjid.
Tidak dilupakan pelbagai inisiatif yang berpotensi membina kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan dan memperkukuh institusi negara dalam usaha menaikkan siling ekonomi serta lantai hidup rakyat.
Kerajaan juga menekankan keperluan memperkukuh ekonomi hijau dan digital yang bukan sahaja menyokong pembangunan mampan, tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan masa depan kepada anak muda.
Ini memperlihatkan visi jangka panjang kerajaan membawa Malaysia mendepani cabaran ekonomi global berasaskan teknologi dan kelestarian.
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 menggambarkan komitmen padu kerajaan untuk menyantuni rakyat dalam masa memperkukuh nama negara di persada dunia.
Ini bukan belanjawan retorik, tetapi pelan tindakan yang mengutamakan rakyat selaras aspirasi Malaysia Madani.
Ringkasan AI
- Belanjawan 2026 bertema 'Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' dilihat sebagai langkah realistik untuk kesejahteraan masyarakat
- Belanjawan kali ini dengan peruntukan RM470 bilion menunjukkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat
- Peningkatan peruntukan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada RM7.9 bilion dan RM2.62 bilion untuk pesawah
- Pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan peruntukan RM13 bilion yang melibatkan hampir sembilan juta penerima
- Belanjawan 2026 menekankan keperluan ekonomi hijau dan digital serta memperlihatkan visi jangka panjang untuk menghadapi cabaran ekonomi global
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

