Video integriti raih kemenangan kali kedua bukti kerja berpasukan, mesej berkesan

Mohamad Hamdan (tiga, kiri) ketika menerima hadiah juara kategori Sektor Awam dan Agensi Kerajaan pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Pendek sempena HARA 2025 di sini pada Rabu.
Mohamad Hamdan (tiga, kiri) ketika menerima hadiah juara kategori Sektor Awam dan Agensi Kerajaan pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Pendek sempena HARA 2025 di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Kejayaan meraih kemenangan buat kali kedua dalam pertandingan video bertemakan integriti disambut dengan rasa syukur dan penuh emosi sekali gus membuktikan mesej pencegahan rasuah masih relevan dan mampu menyentuh hati masyarakat.

Menurut Ketua Balai Bomba Alor Gajah, Mohamad Hamdan Sudin, kemenangan kali kedua itu disifatkan sebagai sesuatu yang mencabar dan mendebarkan, memandangkan persaingan bagi kategori sektor awam dan agensi kerajaan bagi Pertandingan Video Pendek sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 dilihat melibatkan banyak penyertaan berkualiti.

“Syukur alhamdulillah. Tahun ini memang rasa suspens kerana ini kali kedua kami bertanding dan penyertaan pula sangat menggalakkan.

"Kejayaan ini bukan milik individu sebaliknya hasil usaha kolektif seluruh pasukan yang bekerja keras sejak peringkat awal penghasilan video. Token kemenangan ini sebenarnya untuk pasukan saya. Mereka benar-benar lumus dari awal hingga berjaya,” katanya kepada Rasuah Busters ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Pendek sempena HARA 2025 di sini pada Rabu.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Datuk Hussamuddin Yaacub bersama pemenang kategori sektor awam dan agensi kerajaan.
Ketua Pasukan Rasuah Busters Datuk Hussamuddin Yaacub bersama pemenang kategori sektor awam dan agensi kerajaan.

Pertandingan Video Pendek sempena HARA merupakan anjuran daripada IKRAM Malaysia bersama Rasuah Busters dan Sinar Harian yang telah memasuki tahun ketiga penganjuran.

Ia merangkumi empat kategori iaitu pelajr dan guru sekolah, mahasiswa Institut Pendidikan Tinggi (IPT), sektor awam dan agensi kerajaan dan umum.

Mengulas idea penghasilan video, beliau berkata konsep tersebut tercetus daripada perbincangan dalaman pasukan yang diketuai oleh salah seorang pegawainya, Firdaus, yang bertindak sebagai pencetus idea utama.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, video tersebut merupakan kesinambungan daripada video yang memenangi pertandingan pada tahun 2024.

"Kami bersetuju untuk meneruskan jalan cerita sama, tetapi dengan olahan dan pendekatan yang lebih segar,” jelasnya.

Tambah beliau, penghasilan video kali ini turut mendapat sokongan padu daripada Jabatan Penjara Melaka sekali gus memperkukuhkan nilai kerjasama antara agensi dalam menyampaikan mesej integriti kepada masyarakat.

Ditanya mengenai mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia, beliau yakin pendekatan yang melibatkan elemen kekeluargaan memberi kesan lebih mendalam.

“Bila libatkan keluarga, perasaannya berbeza. Kami juga membawa bakat kanak-kanak, termasuk anak pegawai sendiri. Itu yang membuatkan mesej lebih sampai dan menyentuh perasaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, reaksi juri dan tetamu kehormat yang hadir jelas menunjukkan video tersebut berjaya menyentuh emosi penonton.

Mengulas tahap integriti dalam kalangan anggota di bawah seliaannya, beliau menegaskan bahawa penghasilan video itu bukan hanya ditujukan kepada anggota balai semata-mata, sebaliknya kepada keseluruhan jabatan.

“Harapan kami, nilai integriti ini dapat diterapkan kepada semua, khususnya 61 pegawai di bawah seliaan saya. Kami tidak mahu menjadi seperti agensi lain yang tular kerana isu negatif,” katanya.

Beliau berharap usaha berterusan melalui medium kreatif seperti video mampu membudayakan integriti, sekali gus mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam.

Muhamad Amirul Azizi (dua,kanan) ketika menerima hadiah juara kategori umum pertandingan berkenaan. Hadir sama, Presiden IKRAM Malaysia, Badlishah Sham Baharin (kanan).
Muhamad Amirul Azizi (dua,kanan) ketika menerima hadiah juara kategori umum pertandingan berkenaan. Hadir sama, Presiden IKRAM Malaysia, Badlishah Sham Baharin (kanan).

Masjid dan taubat rasuah dinobat Johan kategori awam

Dalam pada itu, Masjid Bandar Seri Putra pula dinobat sebagai juara bagi kategori awam pertandingan berkenaan.

Bilalnya, Muhamad Amirul Azizi Roslan, 30, bersyukur dan terharu karya yang dihasilkan berjaya menambat hati juri menerusi pendekatan berunsur keagamaan dan kemanusiaan.

Ujarnya, beliau tidak menyangka karya mereka akan diumumkan sebagai pemenang utama memandangkan saingan yang diterima amat sengit dan berkualiti.

“Terus terang saya terkejut. Melihat karya peserta lain, semuanya sangat menarik. Kami hanya menyasarkan berada dalam kelompok lima terbaik, mungkin di tempat keempat atau kelima,” katanya.

Namun, pengumuman kemenangan sebagai Johan nyata memberikan kegembiraan yang sukar digambarkan.

“Alhamdulillah, perasaan itu sangat seronok. Saya harap video ini dapat memberi manfaat kepada semua penonton yang telah menyaksikannya,” ujarnya.

Mengulas idea penghasilan video, beliau berkata konsep tersebut tercetus daripada tema rasuah dan integriti yang dikaitkan dengan peranan institusi masjid sebagai pusat pembentukan nilai moral dan spiritual masyarakat.

“Kami berfikir, apakah mesej yang boleh disampaikan oleh institusi masjid berkaitan isu rasuah. Dari situ, kami memilih pendekatan agama dan mengangkat kisah seorang individu yang pernah terlibat dengan rasuah, kemudian bertaubat dan bergelut dengan persoalan apa yang perlu dilakukan terhadap harta rasuah yang dimilikinya,” jelasnya.

Cerita tersebut kemudian diolah dalam bentuk visual sinematik dengan inspirasi daripada beberapa karya filem tempatan bagi menguatkan impak penceritaan.

“Kami mengambil ilham daripada beberapa filem berunsur dramatik dan nilai moral, lalu disesuaikan menjadi satu karya yang dekat dengan realiti masyarakat,” katanya.

Beliau berharap video tersebut bukan sekadar memberi kesedaran sementara, sebaliknya mampu menjadi pedoman berterusan kepada rakyat Malaysia untuk menjauhi rasuah dalam apa jua bentuk.

“Saya berharap mesej ini dapat kekal dalam ingatan masyarakat supaya sentiasa menjauhkan diri daripada perbuatan rasuah, sama ada sebagai pemberi atau penerima,” katanya.

Tambah beliau, implikasi dan dosa akibat rasuah jauh lebih besar berbanding sebarang keuntungan sementara yang diperoleh.

“Impak selepas itu memang tidak berbaloi dengan apa yang terpaksa kita tanggung akibat dosa rasuah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, sambutan terhadap pertandingan berkenaan menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila sebanyak 207 penyertaan diterima tahun ini sekali gus mencerminkan kesedaran dan penglibatan masyarakat yang semakin tinggi dalam advokasi menolak rasuah.

Ujarnya, penyertaan tertinggi direkodkan dalam kategori pelajar institusi pengajian tinggi yang merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan penyertaan.

Menurutnya, perkembangan tersebut membuktikan keberkesanan pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) yang diwajibkan di universiti dan kolej dalam membina kefahaman serta kesedaran pelajar terhadap isu rasuah.

“KIAR memainkan peranan yang sangat penting dalam mendedahkan pelajar kepada konsep integriti dan bahaya rasuah. Kesedaran ini seterusnya mendorong mereka untuk terlibat secara aktif dalam pertandingan video HARA.

"Sebagai Ketua Juri, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas usaha, kreativiti dan keberanian mereka menyuarakan mesej integriti dengan cara yang segar dan berkesan.

"Pertandingan ini membuktikan bahawa nilai integriti boleh disampaikan dengan pelbagai pendekatan, asalkan mesejnya jelas, jujur dan sampai ke hati masyarakat," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!