Reformasi mega bentuk semula identiti Malaysia

SHAH ALAM – Titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembanterasan rasuah wajar dijadikan titik tolak kepada pelaksanaan reformasi mega bagi membentuk semula identiti Malaysia yang berintegriti dan bermaruah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, titah berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh kerana setiap perkara yang disentuh saling berkait dan mencerminkan keperluan mendesak untuk perubahan sistem nasional negara.
“Inilah masanya untuk kita menghidupkan semula nilai dan karakter bangsa Malaysia, selain menunjukkan komitmen tertinggi kepimpinan negara yang perlu digerakkan hingga ke akar umbi, melibatkan ahli Parlimen, pemimpin masyarakat, pemegang amanah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta institusi awam.
"Reformasi tidak boleh bersifat kosmetik, sebaliknya perlu berteraskan nilai dan budaya," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk yang membabitkan pegawai di peringkat tertinggi.
Namun, kes berkenaan hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kes rasuah yang berlaku, dan masih ramai perasuah lain di luar sana yang perlu diburu.
Nurhayati menegaskan, reformasi institusi dan perundangan perlu disegerakan, termasuk memastikan kebebasan institusi, ketelusan, pengasingan kuasa serta menolak sebarang bentuk imuniti kepada pemegang jawatan dan kuasa.
Tambah beliau, siasatan perlu dijalankan tanpa campur tangan politik, disokong sistem audit yang telus serta pengisytiharan harta yang boleh diakses rakyat.
“Dalam masa sama, Parlimen perlu diperkukuh sebagai cabang legislatif yang berwibawa, manakala fungsi ombudsman kelak harus benar-benar berupaya menilai dengan bebas aduan rakyat terhadap kecuaian badan eksekutif dan agensi kerajaan dengan mengangkat good governance dan prinsip keadilan pentadbiran.
“Reformasi mega bukan hanya tertumpu kepada undang-undang, tetapi turut menuntut perubahan budaya dan sikap masyarakat termasuk menolak normalisasi perbuatan salah walaupun kecil.
“Perubahan menuntut pengorbanan, namun inilah peluang untuk membina Malaysia yang lebih diyakini dan dihormati,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
