Tragedi lubang kumbahan: PIBG saran pemeriksaan menyeluruh fasiliti sekolah

SHAH ALAM – Tragedi lubang kumbahan yang meragut nyawa seorang murid lelaki berusia sembilan tahun di Lenggeng, Seremban pada Sabtu membuka mata semua pihak untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap fasiliti sekolah termasuk yang sudah usang.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Damai, Mohamad Halim Arafullah berkata, aspek keselamatan dan keselesaan murid perlu menjadi keutamaan meskipun terpaksa mengeluarkan dana bagi kerja-kerja penambahbaikan kecil.
“Kebanyakan aduan yang diterima melibatkan kerosakan di tandas atau fasiliti bilik darjah seperti kipas dan lampu. Sekiranya kos pembaikan tidak membebankan PIBG, kita sedia mengeluarkan wang.
“Bagaimanapun, peranan guru, pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah amat penting untuk melaporkan kerosakan fasiliti sekolah serta persekitarannya agar dapat dirujuk kepada pihak terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, kempen kesedaran keselamatan wajar dilakukan agar murid lebih peka terhadap kawasan berbahaya di sekolah.
“Murid sekolah rendah belum mengenal erti bahaya yang sebenar kerana mereka berada di fasa meneroka keadaan sekeliling.
“Kempen itu boleh menjadi medium pengenalan supaya mereka dapat menjaga diri daripada mendekati lubang, memanjat tempat tinggi dan sebagainya,” katanya.
Ringkasan AI
- Tragedi lubang kumbahan di Lenggeng, Seremban meragut nyawa seorang murid berusia sembilan tahun
- Aspek keselamatan dan keselesaan murid di sekolah perlu menjadi keutamaan
- Kebanyakan aduan melibatkan kerosakan di tandas atau fasiliti bilik darjah
- Peranan guru, pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah penting dalam melaporkan kerosakan
- Kempen kesedaran keselamatan di sekolah diperlukan agar murid lebih peka terhadap bahaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
