NUTP tuntut siasatan menyeluruh tragedi murid maut jatuh lubang kumbahan

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menuntut siasatan menyeluruh dijalankan susulan tragedi lubang kumbahan yang meragut nyawa seorang murid lelaki berusia sembilan tahun di Lenggeng, Seremban pada Sabtu.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai selepas mangsa dikatakan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah berkenaan.
Menurut beliau, sudah tiba masanya aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah diberikan perhatian serius oleh semua pihak demi melindungi warga sekolah, khususnya murid dan pelajar.
Tambahnya, semua sekolah mesti diiktiraf sebagai tempat kerja secara menyeluruh di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).
“Selain menumpukan kepada reformasi kurikulum, kokurikulum dan program baharu ke arah meningkatkan kualiti pendidikan, sudah sampai masanya pihak kerajaan juga mengadakan reformasi terhadap hal-hal berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah.
“Bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan berlaku di sekolah-sekolah di seluruh negara, yang sebahagiannya uzur akibat kekurangan peruntukan penyelenggaraan, NUTP mencadangkan agar audit teknikal dibuat secara berperingkat terhadap bangunan sekolah, asrama, makmal dan kemudahan fizikal lain oleh pakar OSH bertauliah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Aminuddin berkata, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat sekolah juga perlu ditubuhkan selaras dengan akta tersebut.
“Akta ini mewajibkan sekolah (sebagai majikan) menubuhkan organisasi keselamatan seperti Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), serta melaksanakan langkah lain bagi mengawal risiko di tempat kerja demi menjaga kesejahteraan semua pihak yang terlibat.
“Penguatkuasaannya jika dilakukan secara tersusun mampu mewujudkan suasana kerja yang selamat dan sihat untuk semua orang yang bekerja di sekolah termasuk guru, kakitangan sokongan, serta pihak lain yang berada di premis sekolah,” katanya.
Jelas beliau, mekanisme itu juga mampu melindungi orang lain daripada risiko berkaitan aktiviti kerja, termasuk pelajar dan pelawat di sekolah.
Ringkasan AI
- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menuntut siasatan menyeluruh berikutan tragedi lubang kumbahan di Seremban
- Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang cuai
- Keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah perlu diberikan perhatian serius
- Semua sekolah perlu diiktiraf sebagai tempat kerja dibawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
- NUTP mencadangkan audit teknikal bangunan sekolah oleh pakar OSH serta penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sekolah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
