'Ustaz, Abdul Fattah tak ada'

Khairol Rizal menunjukkan gambar kenangannya bersama arwah.
Khairol Rizal menunjukkan gambar kenangannya bersama arwah.
A
A
A

REMBAU – “Ustaz, Abdul Fattah tak ada.” Itulah kata-kata seorang rakan sekelas yang membuat Khairol Rizal Mustafar, 42, mula berasa tidak sedap hati ketika mencari anak keduanya, Abdul Fattah, 9 tahun, di padang sekolah sempena program hari sukan di Lenggeng, pada Sabtu.

Murid Tahun Tiga itu disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di kawasan sekolah berkenaan.

Menurut Khairol Rizal yang juga Imam 2 Masjid Khairiah serta Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), beliau berada di lokasi sepanjang program berlangsung yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

Jenazah murid Tahun Tiga, Abdul Fattah yang maut terjatuh dalam lubang kumbahan di sekolah dibawa keluar dari unit forensik Hospital Rembau.
Jenazah murid Tahun Tiga, Abdul Fattah yang maut terjatuh dalam lubang kumbahan di sekolah dibawa keluar dari unit forensik Hospital Rembau.

“Ketika itu saya ke padang untuk mencari anak-anak. Saya jumpa anak ketiga dan rasa lega, tetapi Abdul Fattah tidak kelihatan. Apabila bertanya kepada kawannya, Naufal, dia jawab ‘Ustaz, Abdul Fattah tak ada’.

“Masa itu hati saya sudah rasa tak sedap. Tidak lama kemudian seorang guru maklumkan mangsa yang terjatuh ke dalam lubang kumbahan adalah anak saya,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.

Khairol Rizal berkata, anaknya dibawa naik dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum diberi bantuan pernafasan (CPR) hampir setengah jam oleh petugas perubatan.

“Doktor di situ beritahu arwah sudah tiada, tapi saya tetap minta CPR diteruskan dalam ambulans hingga ke hospital. Namun akhirnya doktor sahkan anak saya tidak dapat diselamatkan kerana terlalu banyak air masuk ke paru-paru,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata Abdul Fattah tidak terlibat dalam acara balapan hari sukan kerana tidak terpilih, sebaliknya hanya datang untuk memeriahkan program.

“Saya tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku. Ada yang kata terdengar bunyi sesuatu jatuh, tetapi saya sendiri tidak tahu mengapa arwah berlari ke kawasan belakang bangunan,” katanya.

Khairol Rizal mengakui terkilan tetapi reda dengan ketentuan Ilahi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sebelum ini, arwah pernah beberapa kali meluahkan hasrat mahu meninggal dunia ketika masih kecil kerana percaya dapat terus masuk syurga. Namun, kata bapanya, beliau hanya menganggap ia sebagai perbualan kosong.

 

 

Ringkasan AI

  • Abdul Fattah Khairul Rizal, murid Tahun Tiga, terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sebuah sekolah di Lenggeng dan maut
  • Abdul Fattah pernah berhasrat untuk meninggal dunia ketika kecil kerana mahu masuk syurga
  • Bapanya, Khairol Rizal Mustafar menganggap hasrat anaknya itu sebagai perbualan kosong
  • Khairol berada di sekolah semasa kejadian kerana memegang jawatan YDP PIBG
  • Abdul Fattah tidak menyertai acara balapan pada hari sukan kerana tidak terpilih dalam saringan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!