Kebakaran longgokan kayu, tayar terpakai punca api merebak ke belukar 3.2 hektar

MELAKA - Kebakaran longgokan kayu dan tayar terpakai dipercayai menjadi punca api merebak ke kawasan belukar seluas 3.2 hektar di Kota Syahbandar di sini pada Khamis.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.28 tengah hari.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dibantu pasukan dari BBP Bukit Katil, BBP Tangga Batu dan BBP Padang Temu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan longgokan kayu serta tayar terpakai sebelum merebak ke kawasan belukar berhampiran.
“Operasi pemadaman melibatkan tiga jentera bomba (FRT) dan dua lori tangki air dengan kekuatan keseluruhan 26 anggota,” katanya menerusi kenyataan.
Pada Khamis, tular sebuah video memaparkan kebakaran di sepanjang laluan tepi jalan di lokasi berkenaan yang dirakam oleh pengguna jalan raya.
Beliau berkata, operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.59 petang, dengan bantuan turut diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan kawalan keselamatan.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Setakat jam 6 petang, operasi pemadaman masih dijalankan di lokasi kejadian.
Ringkasan AI
- Longgokan kayu dan tayar terpakai terbakar di Kota Syahbandar menyebabkan api merebak ke belukar
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka menerima panggilan kecemasan
- Pasukan bomba dari empat balai digerakkan ke lokasi
- Operasi pemadaman melibatkan tiga jentera bomba dan dua lori tangki air
- Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya tanpa mangsa dilaporkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

