Tragedi lubang kumbahan: Lakukan audit keselamatan bangunan, kemudahan sekolah

Saluran kumbahan lokasi mangsa terjatuh.
Saluran kumbahan lokasi mangsa terjatuh.
A
A
A

INSIDEN yang berlaku di sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Negeri Sembilan pada Sabtu telah menggemparkan masyarakat apabila seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di kawasan sekolah.

Mangsa yang juga anak kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan difahamkan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber semasa kejohanan olahraga sekitar jam 9 pagi.

Kejadian itu turut disaksikan orang ramai termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin yang hadir merasmikan acara berkenaan.

Tragedi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat memandangkan sekolah sepatutnya menjadi satu tempat selamat untuk anak-anak belajar serta menimba ilmu pengetahuan.

Namun begitu, kejadian itu membuktikan masih wujud kelemahan dari segi aspek keselamatan infrastruktur.

Ia mengundang persoalan bagaimana bangunan yang baru sahaja dirasmikan tahun lalu boleh beroperasi jika masih terdapat kecacatan yang berisiko terhadap nyawa murid.

Kegagalan memastikan setiap kemudahan berada dalam keadaan selamat memberi gambaran seolah-olah aspek keselamatan tidak diberi keutamaan.

Bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang, beberapa langkah drastik perlu dilaksanakan termasuk kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua sekolah, khususnya bangunan baharu yang masih dalam tempoh jaminan.

Setiap infrastruktur seperti penutup saluran kumbahan, longkang, bilik elektrik dan tangga perlu diperiksa bagi memastikan setiap satunya mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Pihak PIBG dan komuniti setempat juga boleh memainkan peranan dengan menyalurkan aduan segera jika terdapat kerosakan atau potensi bahaya di kawasan sekolah.

Kerajaan dan pihak sekolah perlu mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi meredakan keresahan ibu bapa serta mengembalikan keyakinan bahawa sekolah adalah tempat yang benar-benar selamat untuk anak-anak.

Nyawa seorang murid tidak seharusnya menjadi korban hanya kerana kecuaian dalam memastikan infrastruktur berada pada tahap terbaik.

Ringkasan AI

  • Insiden tragis di mana seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan
  • Mangsa adalah anak kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut dan terjatuh semasa kejohanan olahraga
  • Kejadian disaksikan oleh orang ramai termasuk ADUN Lenggeng, menimbulkan kebimbangan keselamatan di sekolah
  • Terdapat kelemahan dalam aspek keselamatan infrastruktur sekolah yang baru dirasmikan pada tahun lalu
  • Pentingnya audit keselamatan menyeluruh dan pemeriksaan infrastruktur oleh pihak berkenaan untuk mengelakkan tragedi serupa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!