[VIDEO] 'Macam angkat sekeping kertas' - Lelaki selam lubang kumbahan selamatkan murid Tahun Tiga

Muhammad Arsyad nekad menyelam ke dalam lubang kumbahan demi menyelamatkan Abdul Fattah dalam tragedi menyayat hati di Seremban.
Muhammad Arsyad nekad menyelam ke dalam lubang kumbahan demi menyelamatkan Abdul Fattah dalam tragedi menyayat hati di Seremban.
A
A
A

SEREMBAN – "Waktu saya angkat arwah, rasa macam angkat sekeping kertas... sangat ringan, tak macam angkat orang."

Demikian luahan Muhammad Arsyad Jahaya, 35, seorang hero tidak didendang yang sanggup menyelam ke dalam lubang kumbahan demi menyelamatkan murid Tahun Tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal, yang terjatuh dalam kejadian menyayat hati pada Sabtu.

Ketika kejadian, Muhammad Arsyad hadir ke sekolah berkenaan untuk acara sukan anaknya sebelum didatangi seorang guru yang meminta bantuannya menyelamatkan mangsa selepas mengetahui dia pandai berenang.

Menurutnya, selepas tiba di lokasi, beliau teragak-agak untuk turun kerana kedalaman air selain keadaan kotor dalam lubang kumbahan.

“Saya tanya, betul ke ada budak jatuh, sebab waktu itu air sangat tenang, macam tak ada apa-apa yang berlaku. Saya tak ada masalah nak turun, cuma takut kena tipu sebab ini lubang najis.

“Namun, selepas disahkan terdapat saksi yang melihat mangsa jatuh, saya terus nekad untuk turun ke bawah menyelamatkan mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Arsyad yang bekerja sebagai juruvideo berkata, beliau bertindak segera kerana bimbang bantuan bomba mengambil masa untuk tiba.

Katanya, kedalaman air dianggarkan melebihi 1.8 meter, iaitu sudah mencecah paras lehernya walaupun kakinya masih belum menyentuh dasar saluran tersebut.

“Mulanya saya jolok permukaan dasar guna kayu. Kemudian topi arwah timbul dulu, selepas itu kasut dia pula timbul.

Artikel Berkaitan:

“Masa itu saya tahu memang dia ada di bawah. Terus saya menyelam dalam keadaan gelap dan busuk, pegang tubuh kecil itu dari bawah ketiak dan tolak ke atas untuk disambut oleh orang di atas,” katanya.

Ujarnya, usaha membawa keluar mangsa ibarat dipermudahkan dengan kekuasaan ALLAH SWT.

“Badan arwah sangat ringan, sedangkan kalau ikut logik, dalam air dan dalam keadaan basah mestilah berat. Tapi dia ringan sangat. Lepas tu saya fikir, mungkin malaikat tolong saya waktu itu.

“Saya sendiri sebenarnya masih dalam proses pemulihan selepas terlibat dalam kemalangan pada 25 Ogos lalu yang menyebabkan koyakan tisu lembut di bahagian rusuk.

“Doktor cakap saya perlukan dua bulan untuk pulih. Tapi masa kejadian tu, saya tak rasa sakit langsung. Macam ada kekuatan luar biasa,” katanya.

Namun, Arsyad meluahkan rasa sedikit terkilan kerana tidak dapat membawa mangsa keluar dalam keadaan masih bernyawa.

“Saya sampai lambat. Sebab itu saya cakap, kenapa bukan saya orang pertama yang tahu? Kalau saya orang pertama jumpa, mungkin dia masih hidup.

“Lepas kejadian ini berlaku, saya dengar ada yang menyalahkan pihak sekolah. Saya cuma minta biarlah pihak polis jalankan siasatan sebab kita pun tak tahu punca sebenar kejadian,” katanya.

Ringkasan AI

  • Muhammad Arsyad Jahaya menyelam ke dalam lubang kumbahan untuk menyelamatkan Abdul Fattah Khairol Rizal yang terjatuh
  • Dia dipanggil membantu kerana kemahiran berenangnya sambil menghadiri acara sukan anaknya di sekolah
  • Arsyad bertindak segera kerana bimbang akan kelewatan bantuan dari bomba
  • Dia menyelam dalam air kotor dengan kedalaman melebihi 1.8 meter, dan akhirnya menemukan tubuh mangsa dengan bantuan kayu
  • Walaupun Arsyad berjaya mengangkat tubuh mangsa, dia sedih kerana tidak dapat menyelamatkannya dalam keadaan hidup

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!