Subsidi RON95 hanya untuk rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, ada lesen memandu sah

PUTRAJAYA - Sistem kepada Program Budi Madani RON95 (BUDI 95) hanya dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah sahaja.
Tegas Kementerian Kewangan (MoF), sekiranya hanya warga tempatan tetapi tidak memiliki lesen sah, individu berkenaan tidak layak menikmati kadar subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter.
"Tidak. Mesti ada lesen memandu yang sah dan aktif," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan.
Bagaimanapun mekanisma pelaksanaan dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan dan menguji sistem sebelum dibuka sepenuhnya kepada lebih 16 juta pengguna yang layak.
Bermula Sabtu ini, anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati harga baharu sebagai langkah percubaan.
Golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan menerima manfaat pada 28 September sebelum dibuka kepada semua warganegara pada 30 September.
Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Ringkasan AI
- Sistem Program Budi Madani RON95 hanya untuk warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah
- Warga tempatan tanpa lesen sah tak layak nikmati subsidi RON95 pada RM1.99 seliter
- Kadar subsidi RON95 diturunkan dari RM2.05 ke RM1.99 seliter mulai Selasa depan
- Pelaksanaan berperingkat bermula dengan anggota polis dan tentera, diikuti B40 dan penerima STR, akhirnya semua warganegara
- Bukan warganegara akan membeli RON95 tanpa subsidi pada harga RM2.60 seliter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

