Harga RON95 turun kepada RM1.99 seliter mulai 30 September - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini. Gambar hiasan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Beliau berkata, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia dengan bukan warganegara perlu membayar pada harga RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.

"Mulai tarikh sama juga, syarikat besar dan warga asing tidak lagi layak menerima subsidi dan harga RON95 dijual pada kadar RM2.60," katanya di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan kerajaan itu menjadikan Malaysia satu-satunya negara yang menurunkan harga bahan api ketika ekonomi global tidak menentu.

“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menepati janji untuk mengurangkan beban rakyat, selain memastikan subsidi hanya dinikmati warganegara,” jelas beliau.

Menurutnya, pelarasan RON95 dibuat selepas kerajaan menilai kedudukan fiskal dan kejayaan mengekang ketirisan, termasuk isu penyeludupan yang merugikan negara sebelum ini.

“Walaupun kita mewarisi beban hutang tinggi, kejayaan memperkukuh tatakelola dan meningkatkan kecekapan membolehkan kita berani menurunkan harga minyak,” ujarnya.

Pelaksanaan penurunan harga itu akan dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di stesen minyak dan memberi masa kepada rakyat membuat persediaan.

Anwar berkata, anggota polis dan tentera akan menikmati harga baharu lebih awal iaitu pada 27 September sebagai langkah percubaan melibatkan sekitar 300,000 orang.

Artikel Berkaitan:

Keesokannya, pada 28 September, golongan B40 dan sebahagian M40 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan mendapat manfaat harga RM1.99 seliter sebelum ia dibuka kepada semua warganegara pada 30 September.

“Pendekatan berperingkat ini penting supaya sistem dapat diuji terlebih dahulu dan mengurangkan risiko gangguan teknikal apabila jumlah pengguna meningkat,” jelas beliau.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak cip MyKad dan lesen memandu masing-masing sebelum tarikh pelaksanaan bagi memastikan proses pembelian berjalan lancar.

Beliau turut meminta rakyat tidak berpusu-pusu mengisi minyak pada hari pertama kerana sistem akan terus beroperasi selepas 30 September.

“Sabarlah sedikit, jangan semua melulu pada 30 September kerana bimbang berlaku kesesakan. Mesin pembaca MyKad juga disediakan di stesen minyak untuk memudahkan urusan,” katanya.

Perdana Menteri turut membandingkan harga petrol Malaysia dengan negara lain, menegaskan bahawa harga RM1.99 adalah antara yang terendah di rantau ini.

“Harga petrol di Arab Saudi adalah RM2.61 seliter, Indonesia RM3.22, Thailand RM5.68 manakala Singapura RM9.02 seliter. Malaysia kekal antara yang terendah kecuali Brunei,” katanya.

Anwar berkata, keputusan itu juga merupakan sebahagian daripada agenda Madani yang menekankan keutamaan kebajikan rakyat dan tatakelola yang baik.

Beliau menegaskan, hasil daripada rasionalisasi subsidi diesel kini dapat disalurkan kepada pembaikan infrastruktur termasuk sekolah, klinik, jalan raya dan bantuan bencana di Sabah.

“Keutamaan kerajaan kekal dalam bidang pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.

"Keputusan ini membuktikan kita mampu melaksanakan dasar yang benar-benar meringankan beban rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengajak rakyat bersyukur kerana negara masih stabil walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

“Keputusan ini lahir daripada perbincangan teliti Jemaah Menteri dan diharap dapat diterima dengan baik oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September
  • Langkah ini hanya melibatkan rakyat Malaysia sementara warganegara asing perlu membayar RM2.60 seliter
  • Pelaksanaan penurunan harga dilakukan secara berperingkat untuk mengelakkan kesesakan
  • Polis dan tentera menikmati harga baharu lebih awal pada 27 September sebagai langkah percubaan
  • Penurunan harga ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menepati janji mengurangkan beban rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!