MP Pas syor beri tempoh pemutihan kepada kuil ‘haram’

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen Pas mengesyorkan supaya tempoh pemutihan diberikan kepada rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sebelum pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun atau mengeluarkan arahan penutupan selepas tamat tempoh berkenaan.
Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berpandangan, pertikaian melibatkan tapak rumah ibadat sering dibiarkan tanpa penyelesaian selama bertahun-tahun oleh PBT sebelum ia ‘meletup’ apabila timbul aduan atau tekanan politik.
“Kemudian ia dinaratifkan sebagai isu agama, bukan kegagalan tadbir urus. Ini bukan konflik agama. Ini adalah kegagalan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) kerajaan.
“Jadi PBT perlu menjalankan tugas mereka secara profesional tanpa campur tangan orang politik atau sesiapa sahaja yang menjadi batu api sehingga menyemarakkan provokasi dan akhirnya menjadi isu keagamaan, sedangkan ia sebenarnya isu pentadbiran semata-mata,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Halimah turut bertanya sama ada kerajaan akan mewujudkan satu kerangka antiprovokasi nasional bersama SLA bagi aduan serta jangka masa tindakan yang jelas melibatkan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan.
“Sebagai Menteri Perpaduan, bolehkah menjadi mediator atau pemudah cara kepada pihak-pihak yang terlibat dalam isu rumah ibadat tanpa kelulusan ini. Menteri perlu mendengar sebab mereka menyuarakan perkara tersebut dan memahami isu sebenar agar berlaku keadilan kepada semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Aaron menjelaskan perkara melibatkan tanah dan hal ehwal agama sebahagian besarnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri selain Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Namun, bagi kami di Kementerian Perpaduan Negara, pendekatan kerajaan sentiasa berteraskan dialog dan rundingan dengan semua pihak. Kita berharap penyelesaian dapat dilaksanakan secara berperingkat serta berasaskan nilai perikemanusiaan.
“Kita juga menaruh harapan agar usaha penempatan semula dapat memberi keadilan kepada pihak terlibat selain memastikan sebarang tindakan tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan berbaur provokasi, tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta mengelakkan sentuhan terhadap sensitiviti agama, selain memberi ruang kepada proses perbincangan.
Isnin lalu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan bahawa penyelesaian isu pencerobohan tanah melibatkan rumah ibadat bukan Islam perlu ditangani melalui pendekatan harmoni dan berhemah.
Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh ditangani secara konfrontasi kerana hanya akan mengeruhkan keadaan.
Walaupun undang-undang sedia ada membenarkan tindakan eksekutif diambil secara pantas, namun faktor sejarah sesuatu kawasan perlu diambil kira demi menjaga kestabilan masyarakat berbilang kaum.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Pas mencadangkan tempoh pemutihan untuk rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan
- Rumah ibadat sering dibiarkan bertahun-tahun tanpa penyelesaian sebelum menjadi isu besar
- Isu ini dinarasi sebagai konflik agama padahal ia adalah kegagalan dalam tadbir urus
- Ditanya tentang kerangka antiprovokasi nasional bersama SLA untuk aduan isu rumah ibadat
- Pendekatan kerajaan harus berteraskan dialog dan rundingan serta tidak dibuat tergesa-gesa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

