BUDI95: Rakyat layak dapat subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang berkuat kuasa 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.
“Kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan untuk semua rakyat. Namun, pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon untuk nilai yang lebih tinggi mengikut keperluan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.
Anwar berkata, harga RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula tarikh pelaksanaan manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
Beliau berkata, pelaksanaan subsidi bersasar itu menggunakan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan hanya warganegara dengan lesen memandu sah menerima manfaat.
Anwar mengingatkan rakyat supaya menyemak cip MyKad dan lesen memandu masing-masing lebih awal supaya tiada masalah teknikal ketika pengisian petrol.
“Sabarlah sedikit, jangan semua melulu pada 30 September kerana bimbang berlaku kesesakan.
"Mesin pembaca MyKad juga disediakan di stesen minyak untuk memudahkan urusan,” katanya.
Beliau menambah, bagi pengguna celik digital, terdapat pilihan lain menggunakan aplikasi Setel atau Touch ‘n Go sebagai alternatif MyKad untuk melengkapkan transaksi dan mengurangkan kesesakan di stesen minyak.
Menurutnya, pelaksanaan dilakukan secara berperingkat bermula 27 September dengan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati harga baharu sebagai langkah percubaan.
Golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan menerima manfaat pada 28 September sebelum dibuka kepada semua warganegara pada 30 September.
Anwar menegaskan, pendekatan berperingkat itu bagi mengelakkan kesesakan dan menguji sistem sebelum dibuka sepenuhnya kepada lebih 16 juta pengguna yang layak.
Ringkasan AI
- Semua rakyat Malaysia mendapat siling kelayakan bulanan 300 liter untuk subsidi petrol RON95 menerusi program Budi Madani RON95 berkuat kuasa 30 September
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan ini untuk memastikan subsidi diagih secara adil
- Siling kelayakan 300 liter sebulan ditetapkan untuk semua rakyat
- Pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling tersebut dan boleh memohon lebih tinggi mengikut keperluan
- Harga RON95 diturunkan dari RM2.05 ke RM1.99 seliter mulai tarikh pelaksanaan, bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

