Penyasaran subsidi petrol RON95: Mykad cicir, risiko kebocoran data peribadi

SHAH ALAM - Penggunaan MyKad sebagai kaedah utama menuntut subsidi petrol RON95 boleh mendedahkan pengguna kepada risiko kehilangan dokumen serta kebocoran data peribadi.
Pakar Keselamatan Siber, Dr Suresh Ramasamy berkata, MyKad mengandungi butiran peribadi yang biasanya tidak terdapat secara umum.
“Bergantung kepada maklumat yang digunakan daripada MyKad, ada potensi maklumat tersebut dibocorkan.
“Misalnya nombor kad pengenalan, nama penuh, gambar, alamat dan butiran biometrik,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, sekiranya MyKad digunakan tanpa pengesahan tambahan, risiko penyalahgunaan semakin tinggi.
“Sebagai contoh, seseorang hanya perlu MyKad untuk membelanjakan wang tersebut tanpa pengesahan biometrik. Jika cara yang sama digunakan, maka keberkesanan pengesahan adalah amat lemah,” jelasnya.
Menurut Suresh, sebagai langkah berjaga-jaga, mekanisme pengesahan tambahan perlu dipertimbangkan.
“Salah satu kaedah ialah menggunakan OTP (One Time Pin) yang dihantar ke nombor telefon berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Alternatif lain ialah pengesahan dua faktor (2FA) sebagaimana laman web Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberikan kod enam digit hanya sah digunakan dalam tempoh tertentu,” katanya.
Terdahulu, isu kebimbangan terhadap risiko tercicir MyKad sebelum ini turut dibangkitkan bekas Ahli Parlimen, Tony Pua.
Beliau menekankan bahawa bergantung kepada MyKad di stesen minyak boleh mendedahkan individu kepada risiko tercicir letak dokumen pengenalan diri.
Ringkasan AI
- Penggunaan MyKad untuk menuntut subsidi petrol RON95 berisiko kehilangan dan kebocoran data peribadi
- MyKad mengandungi butiran peribadi penting seperti nombor kad pengenalan, nama penuh, gambar, alamat dan butiran biometrik
- Tanpa pengesahan tambahan, menggunakan MyKad menaikkan risiko penyalahgunaan
- Mekanisme pengesahan tambahan seperti OTP atau 2FA perlu dipertimbangkan
- Bergantung kepada MyKad di stesen minyak boleh mendedahkan individu kepada risiko tercicir dokumen pengenalan diri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
