Salam cium tangan menteri tidak rendahkan pegawai ATM – Adly Zahari

Adly - Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
Adly - Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penghormatan yang diberikan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada menteri seperti tunduk dan mencium tangan ketika bersalaman tidak wajar diberi tanggapan negatif.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan, penghormatan itu tidak sepatutnya ditafsirkan seolah-olah merendahkan institusi pertahanan negara.

“Saya ingin mengingatkan juga Yang Berhormat (YB) Ketereh apabila membangkitkan soal salam itu, walaupun ia di luar konteks penggulungan ini, saya berpendapat penghormatan tersebut tidak boleh ditafsirkan seolah-olah menggambarkan ia sebagai suatu kerendahan.

“Sebab biasanya apabila saya sendiri bertemu Panglima Angkatan Tentera, kita tidak memberi tabik, sebaliknya sebagai orang awam kita akan tunduk. Apabila saya melihat gambar tersebut, tunduk itu dianggap oleh (Ketereh) sebagai satu penghormatan yang amat rendah, saya fikir janganlah kita mentafsir sejauh itu,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika membidas kenyataan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) pada sesi Parlimen sebelah pagi yang tidak bersetuju dengan tindakan kepimpinan tertinggi ATM ‘mencium tangan menteri’ serta meminta perbuatan itu dihentikan.

Khlir merujuk kepada video majlis pelantikan Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman yang berlangsung pada 3 Februari lalu dan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Saya ingin menegur Kementerian Pertahanan (Mindef) mengenai budaya mencium tangan menteri, tolong hentikan. Saya lihat perkara ini tular sekarang, jeneral mencium tangan menteri, apa ini?

“Tidak bolehlah perkara seperti ini berlaku. Ibu bapa tidak mengapa untuk dicium tangan, tetapi mencium tangan Menteri Pertahanan, ini tidak betul. Saya harap Mindef membetulkan perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Adly berpandangan isu berkenaan tidak wajar dibangkitkan, apatah lagi mengambil kira jasa dan pengorbanan anggota pertahanan yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan negara.

Artikel Berkaitan:

“Penghormatan kita kepada anggota pertahanan tidak pernah berbelah bahagi dan tidak pernah ada sesiapa yang direndahkan kerana kita tahu dalam apa jua isu sekalipun, anggota pertahanan bukan sahaja mengorbankan masa tetapi juga nyawa mereka untuk negara.

“Jadi, tidak pernah timbul soal merendahkan atau memperlekehkan anggota pertahanan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Penghormatan seperti tunduk dan mencium tangan kepada menteri oleh ATM tidak patut ditanggapi negatif
  • Datuk Adly Zahari menekankan penghormatan ini tidak mencerminkan perendahan institusi pertahanan
  • Penghormatan itu tindakan biasa dan tidak sepatutnya dilihat sebagai tindakan merendah
  • Datuk Khlir Mohd Nor mengkritik tindakan mencium tangan menteri, meminta agar dihentikan
  • Adly menyatakan penghormatan kepada anggota pertahanan tetap utuh dan tidak ada niat merendahkan mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!