Mencari kaedah terbaik dalam penyaluran subsidi petrol bersasar

Subsidi petrol bersasar dilihat mampu membantu kerajaan mengurangkan beban fiskal tanpa menjejaskan kebajikan rakyat. Foto hiasan
Subsidi petrol bersasar dilihat mampu membantu kerajaan mengurangkan beban fiskal tanpa menjejaskan kebajikan rakyat. Foto hiasan
A
A
A

KERAJAAN melalui kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan pelaksanaan subsidi petrol RON95 bersasar tidak hanya bergantung kepada MyKad fizikal sebagai alat pengesahan, tetapi menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran.

Alternatif selain MyKad diperkenalkan dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya mengelakkan ketidakselesaan apabila kad pengenalan diri itu rosak, meningkatkan akses kepada pengguna yang mungkin menghadapi masalah fizikal kad dan mempercepatkan proses agar lebih fleksibel.

Antara mekanisme yang dicadangkan adalah melalui penggunaan aplikasi syarikat minyak seperti Setel bagi Petronas dan Shell App.

Selain itu, kaedah pembayaran di terminal dalam stesen minyak mahupun di luar juga disediakan.

Langkah membenarkan pelbagai kaedah penebusan subsidi dilihat lebih praktikal dan mesra pengguna, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau mengalami masalah dengan cip pada MyKad.

Ia juga memudahkan pengguna yang lebih selesa menggunakan aplikasi digital, selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Melalui integrasi dengan sistem data MyKad, secara tidak langsung penebusan subsidi dapat dikawal dengan lebih baik serta mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penggunaan teknologi ini juga dapat membantu kerajaan memantau corak penggunaan dan menilai keberkesanan pelaksanaan subsidi secara masa nyata.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan subsidi bersasar turut menuntut sesi libat urus lebih menyeluruh dengan semua pemegang taruh termasuk pengendali stesen minyak, penyedia aplikasi serta rakyat bagi memastikan kefahaman dan penerimaan umum lebih jelas.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga disaran memberi latihan serta bantuan teknikal kepada masyarakat luar bandar agar mereka tidak terpinggir dan tercicir daripada menerima manfaat subsidi.

Dengan pelaksanaan berperingkat dan sistem yang cekap, subsidi petrol bersasar dilihat mampu membantu kerajaan mengurangkan beban fiskal tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!